Pegawai TUDM meninggal dunia di Washington


  • Primer
  • Rabu, 24 Nov 2021

ALLAHYARHAM merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih). — Facebook TUDM

SEORANG pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kolonel Hasnol Hisham Abu Hassan meninggal dunia di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, Allahyarham Hasnol Hisham yang berada di Seattle bagi menghadiri Program 'Airman to Airman Talks (A2ATs)' di Camp Murray meninggal dunia pada jam 10.58 malam waktu tempatan (2.58 petang Ahad waktu Malaysia).

"Pada 16 November 2021, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat acute type of aortic dissection.

"Namun, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan. Isteri Allahyarham, Puan Rohani binti Tahir turut berada di sisi suami ketika saat akhir beliau," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, isteri dan keluarga Allahyarham memutuskan untuk menyempurnakan urusan jenazah dan pengebumian di Washington setelah berbincang dengan mengambil kira urusan memudahkan pengurusan jenazah Allahyarham disempurnakan dengan sebaik-baiknya selaras dengan tuntutan Agama Islam.

Allahyarham Hasnol Hisham yang merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) dikebumikan dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington pada 6.30 pagi Rabu waktu Malaysia.

Pengurusan jenazah Allahyarham dilaksanakan oleh House of Mercy dan warga muslim Malaysia yang diketuai oleh Kapten Ayub S. Laari yang turut mengimamkan solat jenazah.

"Pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jeneral Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoodinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pegawai TUDM yang berada di sana.

"Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat, Brigedier Jeneral Mohd Fadzil bin Mohd Diah TUDM telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya," tambah kenyataan itu.

Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam melancarkan segala pengurusan jenazah Allahyarham. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram