152 pelajar keracunan makanan, kantin sekolah di Seremban diarah ditutup


  • Primer
  • Selasa, 23 Nov 2021

SEKOLAH Menengah (SM) Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban. — Gambar hiasan

KANTIN Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban, Negeri Sembilan diarah tutup susulan 152 pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan termasuk muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas makan di situ pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata pelajar berkenaan telah dibawa ke hospital berdekatan serta-merta bagi menerima rawatan dan kesemua kes adalah stabil selain tiada kemasukan ke wad.

Katanya penutupan tempat penyediaan makanan itu dibuat di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes baharu daripada punca premis yang sama.

"Pemeriksaan premis dan aktiviti persampelan juga telah dijalankan. Sampel klinikal daripada kes-kes, makanan dan persekitaran dihantar ke makmal untuk dianalisis selain pemantauan wabak akan dilakukan sehingga situasi stabil.

"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, taklimat kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar terlibat, pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama tersebut dengan keadaan semasa adalah terkawal.

Menurut Veerapan, pada Isnin, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menerima laporan 152 daripada 597 pelajar yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus, dipercayai mengalami keracunan makanan dengan gejala utama sakit perut, loya, sakit kepala, muntah dan demam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

keracunan, makanan, pelajar, kantin, sekolah