Rumah setinggan tepi lebuh raya dijadikan markas dadah


  • 112
  • Selasa, 23 Nov 2021

Yahaya (tengah) menunjuk barang rampasan pelbagai jenis dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

TINDAKAN sindiket dadah menjadikan rumah setinggan sebagai tempat untuk memproses dan membungkus pelbagai jenis bahan terlarang tumpas, selepas polis menahan enam lelaki dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang, Rabu lepas.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di Batu 3 1/2 dan Kampung Udara, berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dekat sini oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing itu, didapati bergerak aktif sejak Julai lepas.

Beliau berkata sindiket itu menjadikan premis sebagai makmal memproses dan membungkus dadah jenis ganja seberat 58 kilogram (kg), heroin (11kg), ganja (2.6kg) dan kafein (50kg).

"Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai peralatan dan perkakasan memproses dadah, serta merampas tiga kereta jenis Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza.

"Dadah yang diproses sindiket ini adalah untuk pasaran tempatan dan polis juga sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Yahaya berkata pihaknya juga sedang menyiasat sumber mereka memperoleh bahan terlarang tersebut.

"Daripada enam suspek yang ditahan, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hanya seorang positif dadah,” katanya.

Yahaya berkata nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM419,920 manakala nilai sitaan harta berjumlah RM119,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan pihaknya sedang memburu saki-baki ahli sindiket terbabit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dadah, polis, rampasan, rumah setinggan