Bengang ditegur buat bising, penyewa pukul warga emas di Klang


  • 112
  • Rabu, 24 Nov 2021

LAI Tee (kiri) dan Bok Koon menunjukkan laporan polis yang dibuat. — Sinar Harian

SEORANG warga emas cedera selepas dipukul oleh seorang daripada ahli keluarga yang menyewa bilik di rumahnya dalam kejadian di Kampung Baru Pandamaran, Klang.

Mangsa, Yap Lai Tee, 71, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam Ahad selepas dia menegur ahli keluarga tersebut untuk tidak membuat bising.

"Kejadian berlaku lebih kurang jam 11 malam. Masa itu saya tengah bersiap nak tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi bising di bilik belakang.

"Saya pergi melihat apa yang berlaku. Ketika itu keluarga berkenaan sedang bersembang dengan kuat, jadi saya tegur mereka meminta supaya jangan bising," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Lai Tee berkata, keadaan mula tegang apabila salah seorang ahli keluarga tersebut marah kerana berang ditegur, lalu mengambil spanar dan memukul tangannya.

"Beberapa kali dia pukul saya. Saya minta dia berhenti pukul sebab sakit, tapi dia semakin agresif menyebabkan saya lari keluar dari rumah untuk minta tolong jiran-jiran," katanya.

Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku beberapa kali perselisihan faham dengan penyewa yang memukulnya itu.

"Dia pernah beberapa kali meninggikan suara dengan saya. Kadang-kadang tak tahu punca dia marah saya.

"Saya pernah minta mereka sekeluarga pindah, tapi mereka merayu dan meminta simpati saya untuk terus menyewa di sini. Tapi bila sudah jadi macam ini, saya sudah tak tahan lagi," katanya.

Selain itu, katanya, keadaan di sekitar rumahnya turut dipenuhi dengan pakaian terpakai dan pelbagai barangan lusuh.

"Mereka (penyewa) memang suka kumpul barang-barang terpakai, beri alasan sebab nak pakai wang. Masalahnya keadaan sekitar rumah saya jadi kotor dan banyak nyamuk.

"Saya ada tegur mereka supaya jangan buat macam itu, kena jaga kebersihan, tapi mereka buat tidak tahu dan tidak peduli dengan teguran saya," katanya.

Sementara itu, Nasib Tai Lee mendapat perhatian Ketua Biro Aduan Awam MCA Bahagian Klang, Datuk Tan Bok Koon yang hadir menziarahinya.

Bok Koon berkata, pihaknya membantu Tai Lee untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

"Saya difahamkan Tai Lee ada membuat laporan polis berkaitan kejadian yang menimpanya dan saya berharap agar kes ini diambil tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

"Saya juga memantau keadaan mangsa dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Suspek dipercayai berumur lingkungan 20-an. Usaha mengesan suspek yang terlibat memukul mangsa sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," ujar beliau. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram