Lelaki terjun laut elak polis di Kepala Batas


  • 112
  • Rabu, 24 Nov 2021

BOMBA dikerah untuk mencari seorang lelaki yang terjun laut gara-gara mahu elak dicekup polis. — Facebook JBPM

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam laut ketika cuba melarikan diri daripada polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kota Kuala Muda di Kepala Batas pada awal Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata ketika kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Polis Kepala Batas membuat pemeriksaan di kawasan tersebut kerana terdapat sekumpulan lelaki berkumpul di situ.

"Bagaimanapun kumpulan lelaki itu telah bertempiaran lari apabila melihat kehadiran pihak polis dan ada antara mereka yang terjun ke dalam laut berhampiran kompleks tersebut.

"Setakat ini disahkan seorang lelaki dikhuatiri lemas dan usaha sedang dibuat untuk mencari mangsa dengan bantuan pihak bomba," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang Mohd Yusni Manshor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.32 pagi dan bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Kami menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan operasi SAR turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM. Pusat Kawalan Bomba juga telah dibuka di lokasi kejadian," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram