'Gangguan seksual bukan isu remeh'


  • Primer
  • Ahad, 21 Nov 2021

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. — Bernama

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil berat mengenai isu gangguan seksual dalam industri seni negara dan menyifatkan ia bukan isu remeh.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa isu tersebut adalah satu kesalahan jenayah.

"Isu ini tidak akan terungkai dengan melemahkan mana-mana pihak, sebaliknya memerlukan gembelengan tenaga setiap pihak baik media mahupun pihak berkuasa dan mereka yang terlibat," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar tempatan yang menyatakan bahawa dirinya menasihatkan pemain industri seni supaya tidak memperbesarkan isu gangguan seksual.

Annuar berkata laporan tersebut telah disalah tafsir oleh wartawan akhbar itu dan tidak mencerminkan pendirian beliau.

"Wartawan itu mencadangkan tajuk temubual gangguan seksual dalam industri seni tanah air tetapi saya mencadangkan agar temubual itu membincangkan fokus utama saya masa ini iaitu pembangunan industri bagi membantu penggiat seni negara.

"Malangnya apa yang keluar adalah tafsiran wartawan tersebut yang tidak mencerminkan pendirian saya," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau telah memaklumkan hal berkenaan kepada pihak polis untuk diambil tindakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram