10-15 minit sudah cukup undang bencana kepada kanak-kanak — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 18 Nov 2021

KANAK-KANAK di usia kecil mempunyai rasa ingin tahu dan mencuba memanjat tempat yang tinggi.

TEMPOH 10 hingga 15 minit sudah cukup untuk mengundang bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian di rumah, kata pakar psikologi.

Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr Rafidah Hanim Mokhtar mengulas tentang kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya yang keluar untuk membeli barang.

rafidah hanim

RAFIDAH Hanim merupakan Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut beliau, secara psikologi, kanak-kanak yang masih kecil memerlukan keberadaan orang dewasa untuk membuat mereka merasa selamat.

"Kanak-kanak di usia satu hingga lima tahun memerlukan pemantauan ibu bapa terutama ketika berada di rumah.

"Kanak-kanak akan rasa tidak selamat jika mereka menyedari ditinggalkan sendirian dan akan berfikir untuk mencari ibu bapa mereka termasuk menjenguk dengan memanjat tingkap atau keluar ke balkoni (bagi rumah bertingkat)," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, ibu bapa tidak boleh memandang rendah keupayaan kanak-kanak kerana bencana boleh berlaku walaupun hanya sekelip mata.

Jelasnya lagi, ibu bapa juga perlu peka dengan tindak tanduk anak-anak kerana mereka mempunyai rasa ingin tahu dan mencuba memanjant tempat yang tinggi.

Hal ini yang boleh mengundang kepada kemalangan yang tidak diduga dan tanpa pemantauan, mereka boleh melakukan sesuatu yang membahayakan.

"Walaupun kanak-kanak dididik dengan rutin yang menjadi kebiasaan, mereka boleh mengubahnya dalam sekelip mata.

"Ibu bapa tidak boleh mengandaikan bahawa anak-anak akan patuh pada kebiasaan sebagai contoh jika mereka tidur dan biasanya dalam tempoh yang lama, boleh jadi semasa ditinggalkan sendiri anak itu terjaga awal," ujarnya.

Kurangkan risiko

Rafidah Hanim turut mencadangkan supaya ibu bapa terutama golongan muda supaya sentiasa ada dengan anak mereka bagi mengurangkan risiko berlakunya kecelakaan.

Katanya lagi, jika berkeperluan untuk keluar dan anak sedang tidur bawalah mereka bersama atau gunakan khidmat penghantaran ke rumah.

Sementara itu beliau turut mencadangkan supaya ibu bapa menjalin hubungan baik dengan jiran tetangga.

Hal ini jika ada keperluan untuk keluar, mereka boleh meminta tolong kepada jiran untuk menjaga anak mereka.

"Selain itu, dalam membeli atau menyewa rumah, aspek keselamatan anak-anak perlu menjadi keutamaan.

"Pastikan rumah yang didiami mempunyai pagar pada tingkap dan pintu balkoni supaya risiko untuk mereka terjatuh dapat dikurangkan.

"Selain itu, pastikan pagar juga ditutup sentiasa supaya anak-anak tidak keluar ke kawasan yang bahaya seperti balkoni," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram