Angkat tangan ikut cara Jepun ajar kanak-kanak melintas


TINDAKAN mengangkat tangan membantu menambah ketinggian kanak-kanak ketika melintas. — Gambar hiasan

JEPUN mengajar kanak-kanak di negara matahari terbit itu untuk mengangkat tangan ke atas ketika melintas, yang secara teorinya akan menambahkan ketinggian mereka.

Ini bermakna, sekiranya kanak-kanak berada di titik buta pada hadapan kenderaan, pemandu akan terlihat tangan mereka sewaktu mereka melintas di hadapan kenderaan itu.

"Amalan ini tidaklah 100 peratus berkesan mengelakkan kemalangan, namun ia sesuatu yang kita boleh ajarkan kepada anak-anak untuk dijadikan amalan bagi mengurangkan risikonya," kata doktor perubatan rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Dr Kamarul menerusi hantaran di laman Facebook berkata, menjadi tanggungjawab pemandu van dan bas sekolah untuk memastikan penumpang atau murid selamat tiba di pagar rumah masing-masing sebelum memandu pergi.

Katanya, antara amalan lain yang boleh dilakukan oleh pemandu adalah hanya membenarkan penumpang atau murid turun di belah bahu jalan, selain melarang mereka turun di sebelah jalan raya.

"Disarankan juga, ketika kanak-kanak sekolah rendah naik dan turun daripada kenderaan sekolah, perlu ada orang dewasa seperti penjaga atau ibu bapa yang mengawasi dan membantu mereka," katanya.

Memberi respons pada hantaran itu, pengguna Facebook, Muhammad Rashidi Ab Hamid berkata, dia bersetuju dengan cadangan supaya kanak-kanak diajar mengikut kaedah yang dilakukan oleh Jepun itu.

"Semoga Allah pelihara anak-anak kita semua," katanya.

Screenshot 2021-11-17 171026

Tangkap layar komen netizen berkaitan budaya mengangkat tangan bagi golongan kanak-kanak.

Muhammad Syawalfiza menulis: "Di Jepun situasi nampak mudah tapi ada perkara 'tersembunyi'- https://www.nippon.com/en/nipponblog/m00096/."

Jumaat lalu, seorang kanak-kanak perempuan digilis sebuah van ketika berjalan melintasi kenderaan itu dari bahagian hadapan.

Rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan, Nur Alisha Safia, 7, memakai beg sekolah berwarna merah jambu sebelum dilihat turun dari sebelah kanan pemandu dan menghala ke arah hadapan van, dipercayai mahu menuju masuk ke rumah transit.

Difahamkan, kemalangan berlaku di hadapan rumah transit di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, Sepang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram