Ambil iktibar tragedi arwah Alisha Safiya, pakar kongsi tip ajar anak lintas jalan


  • Sihat
  • Rabu, 17 Nov 2021

AJAR anak untuk mengangkat tangan ke atas ketika melintas kerana secara teori, cara itu akan menambahkan ketinggian mereka. — Gambar hiasan

INSIDEN kemalangan yang menimpa kanak-kanak perempuan tujuh tahun, arwah Nur Alisha Safiya pada Jumaat lalu cukup memilukan hati dan meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak.

Dalam kejadian itu, arwah Nur Alisha Safiya maut dirempuh van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu selepas kenderaan itu bergerak ke hadapan di mana pada masa sama, mangsa melintas di hadapan van.

Ada yang menunding jari terhadap pemandu van sekolah persendirian itu kerana dikatakan tidak turun dari kenderaan dan memimpin tangan arwah untuk sama-sama melintas jalan.

Selain itu, ada juga yang mempersoalkan di mana keberadaan penjaga tadika yang menjadi rumah transit arwah Nur Alisha Safiya, yang dikatakan sepatutnya perlu menunggu dan menjemput mangsa di depan pintu pagar premis.

Dalam hal ini, mencari kesalahan orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya masyarakat sepatutnya mengambil iktibar serta pengajaran agar perkara tersebut tidak berulang pada masa hadapan.

Berkongsi beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian kemalangan membabitkan kenderaan mula maju (frontover) atau mundur (backover), doktor perubatan rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, ibu bapa boleh mencontohi salah satu kaedah yang dipraktikkan di Jepun.

Beliau berkata, kanak-kanak di negara Matahari Terbit itu diajar untuk mengangkat tangan ke atas ketika melintas kerana secara teori, cara itu akan menambahkan ketinggian mereka.

"Bermakna, jika mereka berada di titik buta pada hadapan kenderaan, sekurang-kurangnya pemandu akan terlihat tangan mereka sewaktu mereka melintas di hadapan kenderaan itu.

"Amalan ini tidaklah 100 peratus berkesan mengelakkan kemalangan, namun ia sesuatu yang kita boleh ajarkan kepada anak-anak untuk dijadikan amalan bagi mengurangkan risiko," katanya.

74707234_107030527436037_3331229123572924416_n

KAMARUL berkongsi beberapa tip mendidik anak melintas jalan raya dengan betul bagi mengelakkan kemalangan jiwa. — Facebook

Menulis tip itu di Facebook, Kamarul bersetuju bahawa adalah tanggungjawab pemandu van dan bas sekolah untuk memastikan penumpang (murid) selamat tiba pagar rumah masing-masing sebelum memandu pergi.

"Antara amalan lain yang boleh dilakukan oleh pemandu adalah hanya benarkan penumpang (murid) turun di belah bahu jalan. Larang penumpang turun di sebelah jalan raya.

"Disarankan juga, ketika kanak-kanak sekolah rendah naik dan turun daripada kenderaan sekolah, perlu ada orang dewasa seperti penjaga atau ibu bapa yang mengawasi dan membantu mereka," katanya lagi.

Sementara itu, Kamarul berkata, kemalangan frontover dan backover selalunya melibatkan kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), van dan lori kerana posisi duduk bagi pemandu kenderaan sedemikian adalah lebih tinggi berbanding kereta.

"Posisi duduk yang tinggi memang memberi kelebihan untuk pandangan jauh, tetapi satu keburukan untuk pandangan dekat," katanya.

Menurutnya, kenderaan besar sedemikian mempunyai titik buta setinggi anggaran 130 hingga 150 sentimeter di hadapan bampar yang secara kasar bersamaan ketinggian seorang kanak-kanak berusia 6 hingga 8 tahun.

"Ini menjadikan kanak-kanak darjah satu dan dua berisiko tinggi untuk dilanggar jika mereka melintas betul-betul di hadapan kenderaan seperti van sekolah dan bas sekolah," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram