Ditinggal sendirian, budak 4 tahun maut terjatuh tingkat 29 kondominium Jalan Ipoh


  • 112
  • Selasa, 16 Nov 2021

POLIS mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pasukan polis dari Balai Polis Jinjang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan daripada MERS pada jam 2.41 petang mengenai insiden tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya yang keluar untuk membeli barang.

"Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, dia mendapati anaknya telah tiada. Bapa mangsa telah meminta bantuan dari pihak pengurusan untuk mencari mangsa.

"Mangsa telah ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat 8 dalam keadaan tidak bernyawa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, pihak pengurusan kondominium kemudian menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian.

Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati, tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dengan satu kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut.

"Bapa mangsa mengesyaki anaknya telah terjatuh dari tingkap rumah mereka. Tingkap di dalam bilik tersebut juga tidak mempunyai jeriji dan hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden ini," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Eng Lai turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram