TRANSIT Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar pada November 2021 seperti yang dijadualkan berikutan ujian yang belum lengkap.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, laluan itu dijangka bersedia untuk perkhidmatan berbayar pada suku kedua 2022.
Menurutnya, tren MRT telah mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan telah mengumpul banyak data.
"Selepas meneliti sendiri data tersebut, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi dengan lebih lanjut.
"Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil sebelum kami dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.
Operasi percubaan untuk MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu telah berjalan sejak 29 April 2021.
Sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh tetapi tanpa penumpang dalam simulasi operasi sebenar.
Mohd Zarif berkata, syarikat telah menjalankan banyak operasi percubaan, termasuk pemeriksaan terperinci akhir.
Beliau berkata, penambahbaikan subsistem adalah perlu untuk menyelesaikan isu data tertiari selain untuk memastikan perkhidmatan tersebut boleh beroperasi dalam keadaan yang baik.
"Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.
"Justeru, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu daripada kontraktor serah kunci yang dilantik,” katanya.
Mengenai perkembangan terkini projek Laluan Lingkaran MRT3, katanya ia masih dalam peringkat perbincangan.
"Kami sedang memuktamadkan pelan pembiayaan dengan kerajaan. Beri kami lebih masa untuk memuktamadkan pelan pembiayaan tersebut dan kami berharap dapat memaklumkan kepada anda semula pada awal tahun depan,” katanya.
Beliau menjangkakan tender untuk projek tersebut akan dibuka pada suku ketiga 2022. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram