'Ujian saringan, kuarantin sudah mencukupi'


  • Massa
  • Selasa, 16 Nov 2021

PELANCONG dari luar negara kini dibenarkan untuk bercuti di Pulau Langkawi mulai Isnin. — Gambar hiasan/The Star

PELANCONG antarabangsa telah dibenarkan oleh kerajaan untuk bercuti di Pulau Langkawi, Kedah bermula Isnin (15 November), namun mereka wajib memenuhi syarat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang berada di Malaysia.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat bahawa keputusan itu dibuat dengan mengambil kira risiko jangkitan dan keadaan yang mungkin akan berlaku.

"Dari segi kesihatan awam, data yang sedia ada menunjukkan bahawa dengan adanya SOP yang telah ditetapkan termasuk ujian saringan dan kuarantin bagi negara tertentu sudah mencukupi untuk memastikan suasana di negara kekal selamat.

"Dalam masa yang sama ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya potensi jangkitan baharu atau sebarang ledakan kes di tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Setiap agensi atau pihak yang menguruskan para pelancong ini bertanggungjawab untuk memastikan setiap SOP dipatuhi.

"Sebagai contoh, kerajaan hanya membenarkan kita membuka pelitup muka waktu nak makan di restoran. Tetapi kadang-kadang ada pengunjung yang tak pakai pelitup muka sebaik mereka turun dari kereta lagi.

"Begitu juga dengan pekerja di restoran, kadang-kadang mereka pun ada yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di premis, Jadi perkara ini yang perlu kita elakkan kerana tanggungjawab itu sudah menjadi tanggungjawab individu," katanya kepada Majoriti.

Menurut Malina, keadaan situasi penularan wabak Covid-19 negara pada saat ini agak selamat untuk membuka semula sempadan negara bagi tujuan rekreasi dan pelancongan.

Bagaimanapun jelasnya, setiap individu perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga keselamatan kehidupan dalam norma baharu.

"Setiap orang perlu bertanggungjawab untuk mematuhi SOP dan jangan terlalu mudah untuk menunding jari pada kerajaan serta pihak penguatkuasa apabila berlakunya peningkatan kes Covid-19.

"Padahal risiko itu diambil oleh individu-individu yang berada di lapangan. Jadi di sinilah kita perlu menanamkan tanggungjawab bagi mengelak kes baharu daripada berlaku dan bersama-sama menyumbang kepada collective outcome," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan kepada pengoperasian di lapangan untuk sentiasa melaksanakan ujian saringan memandangkan harga kit ujian kendiri sudahpun diturunkan jauh lebih murah berbanding dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram