Lebih 240,000 pelancong domestik lawat Langkawi


  • Massa
  • Ahad, 07 Nov 2021

PELANCONG antarabangsa boleh berkunjung ke Langkawi mulai 15 November ini. — The Star

SEJAK pembukaan semula Langkawi di bawah program gelembung pelancongan (travel bubble) pada Hari Malaysia, seramai 240,361 pelancong domestik telah melawat pulau peranginan itu, dengan pembiayaan sebanyak RM240 juta hasil untuk industri pelancongan dalam tempoh kurang dua bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, kira-kira 133,626 orang telah berkunjung ke pulau itu menerusi penerbangan, 77,778 orang menaiki feri dari terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis manakala 28,957 lagi tiba di Pelabuhan Langkawi di Tanjung Lembung.

"Ketibaan pelancong sejak 16 September telah mendapat sambutan di sini dengan sektor perniagaan mencatatkan hasil lumayan RM247 juta setakat ini," katanya.

Nasaruddin berkata, bagi bulan November, Lada menyasarkan kira-kira 150,000 ketibaan pelancong dengan kumpulan pertama mungkin tiba pada pertengahan bulan.

"Berdasarkan trend ketibaan, kami mungkin mencapai 200,000," katanya.

Setakat ini, katanya, kunjungan orang ramai dapat dikawal apabila mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama di kawasan tarikan dan pusat beli-belah.

Bercakap mengenai Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi yang bakal dilaksanakan pada 15 November, beliau berkata, kebanyakan pelancong antarabangsa akan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui transit atau penerbangan terus.

"Kami masih menunggu senarai negara yang dibenarkan melawat Langkawi sebelum kami boleh membuat unjuran yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, tiada protokol kuarantin untuk pelancong antarabangsa diperlukan sekiranya mereka merancang untuk menginap di pulau itu dalam tempoh minimum tiga hari.

“Bagaimanapun, mereka mesti mengambil ujian PCR-Rt dalam tempoh 48 jam selepas tiba di Langkawi.

“Mereka yang datang melalui KLIA, ujian molekul pantas akan dilakukan sebelum mereka berlepas. Selepas itu, tiada ujian saringan diperlukan di Langkawi,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Langkawi, Lada, gelembung pelancongan, KLIA