MALAYSIA dan Singapura akan membuka semula sempadan kedua-dua negara selepas hampir dua tahun, menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) khas antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi mulai 29 November ini.
Ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang sudah lama terjalin dengan membenarkan semula perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara itu secara beransur-ansur.
Justeru, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, usaha itu juga boleh dilaksanakan dengan negara lain jika keadaan kes Covid-19 di kedua-dua buah negara berada dalam keadaan terkawal.
"Pada pendapat saya, ia boleh dilakukan dengan negara lain tetapi kita kena lihat dahulu keadaan semasa negara yang terlibat dan kedua-dua belah pihak perlu ada komitmen untuk ikut peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.
"Sebab saya lihat sekarang ni tak ramai yang mempunyai kesedaran untuk buat ujian saringan sebelum melakukan perjalanan walaupun harga kit ujian dah murah. Kalau ada penguatkuasaan peraturan di antara negara yang terlibat, sudah pasti ia tidak menjadi masalah untuk membenarkan rakyat travel keluar dan masuk," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa ujian Covid-19 sebagai ganti perlaksanaan kuarantin bagi VTL juga adalah keputusan yang tepat dengan keadaan status kes Covid-19 di negara.
Tambahnya lagi, kadar pola wabak di Malaysia dan Singapura berada dalam keadaan menurun serta jumlah penerima dos vaksin lengkap juga tinggi.
"Tak ada kuarantin bukan satu masalah yang besar sebab ramai yang sudah mendapatkan dos vaksin lengkap dan menjangkakan risiko untuk mendapat jangkitan adalah rendah.
"Kalau dah buat ujian saringan sebelum perjalanan pun akan menjadikan risiko lagi rendah untuk mecetuskan kes atau kluster baharu.
"Jika kita tengok pada keadaan semasa di Malaysia, pola wabak dalam keadaan menurun dan angka yang telah divaksin juga meningkat sama juga seperti di Singapura. Jadi ,tak ada sebarang masalah dengan keputusan melancarkan VTL di antara dua buah negara tersebut," ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyarankan kepada golongan yang ingin memulakan perjalanan untuk bercuti mahupun atas urusan kerja supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan terutama sekali mereka yang mempunyai anak kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram