Tiada pelanggaran SOP, Sunway Lagoon setuju had 1,000 pengunjung untuk taman air berombak


  • 112
  • Isnin, 15 Nov 2021

SIASATAN pihak polis mendapati terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang di dalam taman tema air tersebut pada hari kejadian. — Gambar hiasan/The Star

PIHAK pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon dinasihatkan supaya menetapkan jumlah kemasukan pengunjung kepada 1,000 orang ke bawah di taman air berombak taman tema air berkenaan dalam satu-satu masa.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berhubung insiden tular pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di taman air berombak taman tema air berkenaan.

Katanya, dalam kejadian yang tular menerusi satu hantaran video pada 6 November lalu, terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang di dalam taman tema air tersebut.

"Kami menasihatkan pihak pengurusan Sunway Lagoon supaya mengurangkan jumlah kemasukan pengunjung walupaun ketetapan semasa taman tema itu masih di bawah jumlah yang dibenarkan mengikut SOP.

"Mereka juga telah bersetuju dan memaklumkan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuai bagi memastikan ianya dilaksanakan selain memastikan supaya semua pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau lagi, siasatan pihak polis mendapati taman air borambak di taman tema berkenaan boleh memuatkan seramai 10,000 orang dalam satu satu masa tetapi mengikut SOP MKN Fasa 4 PPN hanya 5,000 orang dalam satu-satu masa.

Terdahulu, polis pada Rabu menyiasat video tular yang memaparkan keadaan sesak pengunjung di Taman Tema Sunway Lagoon di Subang Jaya, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular berdurasi 13 saat berkaitan pelanggaran SOP di taman tema tersebut.

Video itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook @Rizal Hakimm Punyer.

Hasil siasatan awal, Taman Tema Sunway Lagoon boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa manakala kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang.

Pada tarikh kejadian berlaku iaitu 6 November lalu, terdapat seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sunway Lagoon, SOP, pengunjung, tular, MKN, KKM