Polis siasat taman tema langgar SOP


  • 112
  • Rabu, 10 Nov 2021

SATU video berdurasi 13 saat yang telah dimuat naik di laman sosial, Facebook berkaitan dakwaan pelanggaran SOP di taman tema pada Ahad. — Sinar Harian

SIASATAN sedang dijalankan berhubung video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di sebuah taman tema di Subang Jaya, Selangor pada Ahad

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar, pihaknya bagaimanapun masih belum mendapat sebarang laporan polis berkaitan isu tersebut.

"Kita mengesan satu video berdurasi 13 saat yang telah dimuat naik di laman sosial, Facebook berkaitan dakwaan pelanggaran SOP di taman tema terbabit.

"Siasatan awal mendapati kawasan taman tema itu boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau lagi, kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula ialah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa.

Jelasnya lagi, pada tarikh kejadian iaitu Ahad, terdapat seramai 3,513 pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema berkenaan.

"Kita akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran SOP Fasa Empat PPN.

"Pihak polis turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram