Berhibur langgar SOP, 48 individu dikompaun RM265,000


  • 112
  • Ahad, 14 Nov 2021

ANGGOTA JPJKK menjalankan serbuan di sebuah premis hiburan di ibu negara pada Sabtu. — Ihsan PDRM

SEBANYAK RM265,000 kompaun dikeluarkan terhadap 48 orang individu dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan di ibu negara pada Sabtu.

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, seramai 14 pegawai dan anggota dari JPJKK terlibat dalam serbuan tersebut.

“Hasil serbuan yang dilakukan mendapati premis pusat hiburan tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) 4 2021 iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan pusat hiburan.

“Kompaun bernilai RM25,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan seramai 48 pengunjung turut dikompaun RM5,000 setiap seorang yang menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM265,000,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Azman, saringan air kencing turut dijalankan ke atas 49 individu dan hasil keputusan mendapati seramai 13 didapati positif di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi seperti ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi membendung penularan Wabak Covid-19 dalam kalangan warga Kuala Lumpur khususnya dan membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penularan Wabak Covid-19 di negara kita,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Azman Ayob, serbuan, PDRM, positif dadah, JPJKK