KP Kesihatan beri amaran kes Covid-19 akan mencanak naik


  • Primer
  • Jumaat, 12 Nov 2021

KKM menggalakkan pengambilan dos ketiga bagi mengurangkan kadar kemasukan ke hospital khususnya dalam kalangan warga emas dan golongan komorbid. — Gambar hiasan

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai R-Naught (Rt) 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.

"Ini (Rt 1.0) adalah tanda awal kes (positif Covid-19) akan melonjak. Walaupun belum naik tetapi mungkin akan naik,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya pada Jumaat.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kebenaran rentas negeri bukan faktor pendorong kepada peningkatan nilai R-Naught, sebaliknya aktiviti perhimpunan sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan bersembang dengan jarak dekat adalah penyebab kepada peningkatan itu.

"Ini adalah cara virus (Covid-19) tersebar. KKM (Kementerian Kesihatan) sentiasa sarankan agar rakyat patuh SOP (prosedur operasi standard) dan wajib pakai pelitup muka. Kalau boleh pakai face shield (pelindung muka). Kalau pakai dua lapis pelitup muka dan pelindung muka, ia dapat tapis antara 86 hingga 90 peratus virus,” katanya.

Beliau turut memberi penekanan terhadap amalan kebersihan seperti kerap mencuci tangan kerana ia termasuk dalam amalan kesihatan awam yang perlu diberikan perhatian serius bagi mengurangkan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, amalan kesihatan awam merupakan kaedah pencegahan penularan pandemik Covid-19 secara luaran manakala vaksinasi pula adalah kaedah pencegahan secara dalaman.

"Ini adalah kaedah serampang dua mata KKM yang mesti dipatuhi setiap lapisan masyarakat khususnya golongan warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit komorbid,” katanya.

Mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), beliau berkata sehingga kini 95.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan 1,031,946 atau 4.4 peratus masih tidak divaksin.

Beliau menggesa golongan yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk segera mendapatkan suntikan imunisasi bagi mengelak risiko dijangkiti atau ‘the pandemic of unvaccinated’.

"Kalau kita lihat data di Jerman dan Austria, rata-rata rakyat negara itu yang tidak terima suntikan vaksin adalah terdedah dijangkiti virus berkenaan. Jadi saya seru rakyat negara ini untuk terima suntikan vaksin termasuk dos penggalak untuk pastikan imuniti badan kuat melawan virus ini,” katanya.

Noor Hisham berkata, walaupun kerajaan belum membuat keputusan untuk kaedah ‘jumpa terus’ bagi mendapatkan dos penggalak namun mana-mana individu yang mendapat janji temu perlu mengikuti tarikh, masa dan lokasi yang ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera masing-masing. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram