Perpustakaan mini UPSI sinar harapan anak petani, nelayan Pulau Tuba


  • Massa
  • Jumaat, 12 Nov 2021

JALINAN tona warna ceria untuk menarik minat anak-anak nelayan ke perpustakaan.

PULAU TUBA merupakan sebuah pulau kecil yang terletak kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuah, berkeluasan kira-kira 17 kilometer persegi dengan kepadatan lebih lima ribu penduduk sahaja.

Lengkap dengan prasana jalan raya, kemudahan utiliti seperti air bersih dan elektrik, sekolah, klinik komuniti, dan kemudahan internet tanpa wayar, rata-ratanya penduduk Pulau Tuba bekerja sebagai nelayan, penyumbang tenaga kerja kepada sumber makanan dan perkhidmatan pelancongan di Pulau Langkawi.

Melihatkan kepelbagaian fungsi masyarakat dalam ekosistem tersebut, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil dengan inisiatif menaik taraf sebuah premis usang kepada pembangunan perpustakaan mini untuk dinikmati penduduk setempat, khususnya anak-anak nelayan yang tinggal di tujuh buah perkampungan tersebut.

Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Profesor Madya Dr Azlan Nafiah berkata, projek pembangunan perpustakaan tersebut merupakan salah satu inisiatif jabatannya melestarikan perkembangan khidmat komuniti sebagai menyokong pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui Universiti Untuk Masyarakat (U4S).

“Inisiatif ini bermula sekitar lewat tahun 2019 selepas pihak kami menerima projek untuk menaik taraf semula dewan yang sebelum ini merupakan perpustakaan desa yang telah usang dan rosak.

"Projek pembangunan ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa baik pulih dan fasa pengisian sumber dengan kerjasama sukarelawan UCTC, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Fakulti Seni Muzik dan Persembahan (FSMP), Fakulti Sains dan Matematik (FSM) serta Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

"Pelbagai proses baik pulih seperti penyelenggaraan bangunan, pendawaian elektrik, pembersihan ruang dalaman serta luaran perpustakaan, pembasmian kuman, pemasangan rak dan perabot serta dekorasi ruang yang dilaksanakan sepenuhnya oleh sukarelawan UPSI dalam tempoh dua tahun,” jelasnya

Menurut Azlan lagi, inisiatif naik taraf perpustakaan yang dilaksanakan pihaknya bukan sahaja dapat membantu komuniti setempat mendapat akses bahan bacaan sebaliknya ruang yang ada boleh digunakan sebagai ruang pengajaran dan pembelajaran (P&P) tambahan kepada anak-anak nelayan di sekitar Kuah.

"Pihak UCTC akan menambahbaik ruang perpustakaan ini daripada masa ke semasa dan akan mengenalpasti potensi pembangunan ruang untuk dijadikan sebagai pusat sehenti pembangunan pendidikan untuk komuniti dan boleh digunakan bila-bila masa kelak,” jelasnya yang sedang mengenalpasti pihak yang bersesuaian untuk diserahkan tanggungjawab menalankan operasi perpustakaan ini nanti.

Mural angkat tema keindahan alam semulajadi sebagai tarikan

Selain menyediakan kemudahan bahan bacaan yang pelbagai, ruang perpustakaan turut dihiasi dengan dekorasi hiasan yang kondusif dan menarik serta lukisan mural yang berwarna-warni oleh sukarelawan UPSI untuk memberi tarikan kepada pengguna.

Menurut pensyarah Jabatan Seni Rekabentuk, FSKIK, Profesor Dr. Mohd Fauzi Sedon @ M.Dom, berkata kumpulan sukarelawan UPSI telah tiba dari Tanjung Malim, Perak sejak tarikh 8 November lalu untuk mengecat mural pada ruang dalam dinding perpustakaan tersebut.

"Konsep lukisan mural dinding ruang dalam perpustakaan mengangkat tema keindahan Pulau Tuba dan Pulau Langkawi seperti helang dan lanskap gunung-ganang yang menjadi simbol pulau-pulau yang terulung sebagai pusat pelancongan di Malaysia.

"Jalinan tona warna rata digunakan untuk memberi kesan kontras kepada hasil imej semi abstrak mural yang ceria. Proses lakaran dan mewarna mengambil masa selama tiga hari ini dilakukan dengan terperinci demi mendapatkan hasil yang terbaik dan diharapkan akan memberi tarikan anak-anak serta warga penduduk ke perpustakaan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

UPSI, Pulau Tuba, Nelayan, Perpustakaan