FOODPANDA Malaysia akan meneliti semula Polisi Pembaziran (Wastage Policy) dengan serta-merta selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan para peniaga dalam talian (vendor).
Menurut Foodpanda dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat berkenaan tidak berniat untuk menggunakan perubahan polisi tersebut dalam mengenakan sebarang caj 'tersembunyi' terhadap vendor.
"Walaupun Polisi Pembaziran terkandung dalam perjanjian komersial kami dengan vendor, ini adalah kali pertama kami meneliti semula polisi berkenaan.
"Kami juga akan memastikan sebarang perubahan akan disampaikan dengan lebih jelas pada masa hadapan," kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan terbabit, Polisi Pembaziran pada dasarnya dibuat bagi menangani kes penipuan yang menyebabkan pembaziran makanan selain mengimbangi semula struktur kos semasa dengan pihak vendor.
Dalam perkembangan sama, Foodpada juga akan mengemaskini Pusat Bantuan vendor bagi memudahkan sebarang isu dapat diselesaikan dengan efisien.
"Semua aduan vendor akan dijawab dalam tempoh 48 jam.
"Foodpanda ingin mengulangi komitmennya ke arah mengekalkan ekosistem sihat antara syarikat dan rakan kongsinya," ujarnya.
Baru-baru ini, kecoh di Facebook tentang rungutan kebanyakan vendor Foodpanda yang mempertikaikan sistem pembayaran hasil jualan mereka.
Ada peniaga yang mengadu jumlah jualan mereka tidak seimbang dengan apa yang tertera dalam invois bulanan yang diterima daripada Foodpanda, sekali gus mengakibatkan kerugian ratusan ringgit.
Malahan, kebanyakan vendor turut mengecam Foodpanda mengenakan pelbagai caj tersembunyi sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa berhutang dengan syarikat tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram