PERSATUAN Penghantar P-Hailing Malaysia melontarkan kekecewaan kepada syarikat Foodpanda Malaysia kerana masih gagal menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang berlaku ke atas peniaga atas talian (vendor) dan para penghantar makanan.
Menurut persatuan itu menerusi kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Foodpanda dilihat terus berleluasa menindas rakyat negara ini, seolah-olah Malaysia tiada undang-undang untuk mereka bebas melakukan apa sahaja.
"Kami memohon maaf kerana hasrat kerjasama yang dimulakan oleh pihak Syarikat Penyelia Foodpanda bersama kami untuk menyelesaikan perkara berbangkit tidak kesampaian apabila kami mendapati isu yang pada mulanya akan diambil serius oleh mereka (Foodpanda) menjadi sebaliknya.
"Soalan yang paling mudah seperti kadar bayaran perkhidmatan untuk setiap kilometer perjalanan juga tidak boleh dijawab oleh mereka, sedangkan ini hak penghantar makanan.
"Bagaimanapun, kami tidak akan berhenti dan akan terus mendesak Foodpanda agar segala penindasan yang dilakukan dapat dihentikan," katanya.
Pada 22 Disember tahun lalu, persatuan berkenaan pernah tampil ke pejabat pengurusan Foodpanda di Kuala Lumpur untuk meminta penjelasan berhubung masalah yang menghimpit vendor.
Ujar kenyataan itu lagi, sekiranya berlaku permasalahan antara vendor dan Foodpanda secara berterusan akan menyebakan semakin ramai vendor menarik diri, sekali gus menjejaskan pendapatan penghantar makanan.
Pihak Majoriti pada Rabu turut cuba menghubungi wakil Foodpanda untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan namun tiada sebarang komen diterima setakat artikel ini disiarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram