SUDAH jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan tersebut sesuai menggambarkan situasi para peniaga Foodpanda yang baru-baru ini mendakwa mereka dikenakan caj tidak masuk akal oleh syarikat terbabit.
Selain terpaksa menanggung pendapatan yang kian menyusut sewaktu tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), para peniaga tersebut juga terbeban dengan pelbagai caj dikenakan oleh Foodpanda.
Menurut seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Amir, antara caj tidak masuk akal yang dikenakan dalam kontrak Foodpanda adalah bayaran data Internet bulanan dan prestasi platform.
"Walaupun kami sudah menggunakan Internet rumah sendiri, tetapi tetap dipaksa untuk membayar caj berkenaan.
"Berhubung prestasi platform itu, apabila para peniaga mencapai jumlah jualan tertentu, Foodpanda akan mengenakan caj terhadap kami. Semakin banyak jualan, semakin tinggi nilai kami perlu bayar kepada mereka," ujarnya kepada Majoriti.

Antara rintihan peniaga Foodpanda yang 'ditipu' oleh ejen pemasaran syarikat tersebut. - Facebook
Tegas Amir, Foodpanda sewajarnya memberikan insentif tambahan kepada para peniaga yang mencapai prestasi jualan tertinggi namun sebaliknya berlaku.
"Perkhidmatan penghantaran makanan tidak mempunyai platform yang khusus di bawah kerajaan untuk membuat pemantauan, maka timbul isu seperti ini," katanya lagi.
Caj promosi tidak sah
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Mohammad Syimir Irfan Mohd. Hashim mendedahkan, dia terpaksa menanggung 'kerugian' sebanyak RM1,000 daripada hasil jualannya selepas Foodpanda mengenakan caj promosi tidak sah terhadapnya meskipun tiada sebarang persetujuan dibuat.
"Promosi itu yang dikenali sebagai Pandaclick adalah salah satu produk Foodpanda untuk mendapat lebih ramai pelanggan baharu dan setiap klik oleh pelanggan, saya akan dikenakan caj sebanyak RM0.70.
"Saya memberitahu kepada pihak Foodpanda bahawa saya tidak pernah melanggan produk tersebut dan mereka membuka laporan aduan namun sehingga kini masih tiada maklum balas selepas sebulan," jelasnya.
Selain itu, Mohammad Syimir Irfan turut mengatakan setiap promosi yang dipersetujui oleh para peniaga akan menerima emel daripada Foodpanda namun kes yang terjadi pada dirinya, dia tidak mendapat sebarang emel.
"Foodpanda perlu mempunyai dokumen hitam putih bagi permohonan setiap produk supaya kes yang terjadi kepada saya tidak berlaku.
"Foodpanda juga harus memantau setiap ejen yang ada supaya tidak terus setuju dengan sesuatu produk walaupun para peniaga tidak bersetuju," katanya lagi.
Ujar Mohammad Syimir Irfan, tindakan yang dibuat oleh Foodpanda menyebabkan banyak peniaga tidak mampu menampung lagi perniagaan mereka.
"Kasihan kepada peniaga kecil yang baru berjinak dan ingin menambah atau mencari rezeki akibat dibuat kerja dan sebagainya tetapi lain pula berlaku.
"Bukan semuya peniaga mempunyai latar belakang perniagaan, tambahan sistem Foodpanda yang tidak jelas memberi kesan kepada peniaga baharu," menurutnya.
Majoriti cuba mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini daripada pihak Foodpanda sendiri tapi tiada jawapan yang diterima sehingga kini.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
