ISU menghimpit para peniaga atas talian (vendor) Foodpanda terus menjadi 'barah' kepada mereka sehingga terpaksa beralih kepada syarikat pengendali makanan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup yang kian meruncing di kala pandemik Covid-19.
Paling membimbangkan, Majoriti difahamkan tiada agensi yang menjaga 'kebajikan' vendor Foodpanda sehingga mereka 'dipijak' oleh syarikat berkenaan.
Menurut sumber yang dihubungi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) turut tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Foodpanda.
"Kami dah berhubung dengan KPDNHEP, mereka kata tiada kuasa dalam urusan peniaga dengan peniaga. Mereka hanya bertindak dalam bidang kuasa peniaga terhadap pelanggan sahaja," ujar sumber berkenaan kepada Majoriti.
Tambah sumber terbabit, bukan sahaja vendor Foodpanda, malahan semua vendor syarikat pengendali makanan di negara ini turut tidak dijaga atau dikawal oleh mana-mana agensi kerajaan.
Terdahulu, kecoh di Facebook tentang rungutan kebanyakan vendor Foodpanda yang mempertikaikan sistem pembayaran hasil jualan mereka.
Ada peniaga yang mengadu jumlah jualan mereka tidak seimbang dengan apa yang tertera dalam invois bulanan yang diterima daripada Foodpanda, sekali gus mengakibatkan kerugian ratusan ringgit.
Malahan, kebanyakan vendor turut mengecam Foodpanda mengenakan pelbagai caj tersembunyi sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa berhutang dengan syarikat tersebut.
Sudah tiba masanya kerajaan memandang serius masalah ini dan menubuhkan sebuah agensi kerajaan yang mengawal selia serta membela nasib vendor bagi memastikan hak mereka tidak 'dipijak'. — Majoriti