SEORANG pengguna Facebook, Ivan Wong baru-baru ini menggesa orang ramai agar berhenti membuat pesanan makanan menerusi aplikasi Foodpanda berikutan isu pembayaran yang tidak adil dibuat kepada para peniaga.
Ujarnya, kebanyakan peniaga yang berdaftar dengan Foodpanda bukan sahaja tidak mendapat bayaran daripada Foodpanda tetapi turut 'terpaksa' berhutang dengan syarikat berkenaan.
"Ya, memang benar penjual terpaksa menaikkan harga makanan mereka. Peniaga dikenakan komisen yang tinggi dan caj tersembunyi yang lain.
WONG berkongsi pelbagai rungutan para peniaga Foodpanda baru-baru ini. — Facebook
"Peniaga hanya mahu menanggung kos yang dikenakan kepada mereka. Tiada peniaga yang mahu menaikkan harga makanan mereka sesuka hati dan hilang pelanggan setia mereka.
"Kebanyakan masa, peniaga dipersalahkan, diherdik, menerima penilaian 1 bintang dan ulasan serta aduan yang buruk oleh paa pelanggan tetapi tiada apa yang mereka boleh lakukan selain memberi penjelasan dan meminta maaf secara peribadi.
"Peniaga sebenarnya merasa serba salah kerana terpaksa menaikan harga makanan mereka tapi apa lagi yang boleh mereka lakukan?" ujar Wong.
Antara komen netizen pada perkongsian Wong. — Facebook Ivan Wong
Berdasarkan beberapa foto yang dikongsi oleh Wong, terdapat para peniaga yang mendakwa ada hasil jualan mereka tidak dibayar oleh Foodpanda sehingga mengakibatkan mereka kerugian ratusan ringgit.
Malahan, ada peniaga mengadu mereka terpaksa berhutang dengan Foodpanda gara-gara dikenakan caj tersembunyi.
Rata-rata peniaga turut mengecam sistem aduan Foodpanda yang sukar untuk dihubungi dan lambat memberikan maklum balas.
Majoriti juga kini berusaha mendapatkan maklum balas berhubung isu ini.