ADUAN berhubung bekas suami tidak memberi nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah sebelum ini meningkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding sebelumnya.
Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Selangor dan Terengganu, Hisyam Yusof ketika dihubungi berkata, bermula tempoh awal PKP, lebih 50 peratus aduan berhubung kegagalan bekas suami memberi nafkah membabitkan pelbagai alasan termasuk tiada pekerjaan tetap dan dibuang kerja.
Bagaimanapun menurut beliau, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan 'mudah' untuk lari daripada tanggungjawab.
"Mereka harus ingat anak-anak perlu diberi makan setiap hari. Kegagalan itu membebankan bekas isteri untuk menyara anak-anak.
"Buat sementara waktu dalam tempoh pandemik ini, saya sarankan pasangan terlibat berbincang dengan baik dan mencari jalan mendapatkan wang berbanding melibatkan pihak mahkamah," katanya.
Menurutnya, masalah berkenaan perlu diselesaikan secepat kerana akan mengambil masa lama jika menunggu arahan daripada mahkamah kerana waktu operasi terhad dalam tempoh pandemik Covid-19.
Tambah beliau, ada bekas anak guamnya mengadu terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja dalam sehari bagi menyara empat anak yang masih kecil kerana bekas suami mengabaikan pembayaran nafkah bulanan.
Selain itu, Hisyam yang berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan kes-kes melibatkan perundangan syarie turut memberitahu, isu penceraian juga meningkat dalam tempoh PKP kerana pihaknya banyak menerima aduan dan rujukan bagi pasangan yang memerlukan khidmat nasihat sebelum mengambil keputusan untuk bercerai.
Katanya, pasangan yang mengambil keputusan untuk bercerai ketika PKP sebenarnya mempunyai masalah sejak sekian lama sebelum berlaku perkelahian akibat hal yang remeh dan bukan berpunca masalah kewangan sepenuhnya.
"Secara peribadi jika berdepan dengan kes penceraian, saya lebih suka bertanyakan suami kali terakhir menjadi imam di rumahnya, terakhir makan bersama anak dan isteri dan kali terakhir pasangan itu tidur bersama," katanya.
"Sekiranya jawapan diberikan agak mengecewakan, ketua keluarga disarankan memperbetulkan tiga perkara tersebut bagi menyelamatkan rumahtangga mereka," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram