EKSKLUSIF

Karier pengurup wang menghitung hari sebelum terkubur


  • Massa
  • Isnin, 06 Sep 2021

SALAH sebuah premis pengurup wang di ibu negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. — Majoriti

SEJAK pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia awal tahun lalu, hampir seluruh negara mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sempadan antarabangsa bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

Penutupan sempadan antarabangsa dilihat menjadi 'pembunuh' kepada industri pelancongan antarabangsa yang kerugian kira-kira RM10 trilion tahun lalu, menurut laporan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD). Tidak dilupakan juga industri Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) yang sememangnya bergantung tinggi kepada kehadiran pelancong ke dalam negara.

Menurut data daripada Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB), sebanyak 62 peratus pengusaha premis pengurup wang mengatakan mereka tidak mampu bertahan lebih daripada enam bulan dan kebanyakannya bercadang untuk mengurangkan kos secara drastik, termasuk membuang dan memotong gaji pekerja serta mengecilkan saiz perniagaan. Kebanyakannya terpaksa berbuat demikian disebabkan kegagalan mendapatkan bantuan kewangan dari pihak bank.

Tambahan pula, budaya norma baharu dilihat bakal menjadi cabaran buat pengurup wang andai sempadan negara dibuka nanti kerana orang ramai lebih memilih untuk melakukan transaksi tanpa sentuhan seperti menggunakan aplikasi e-dompet.

Tinjauan Majoriti di sekitar ibu kota mendapati rata-rata premis pengurup wang yang beroperasi kelihatan lengang tanpa pelanggan manakala sebilangan premis masih lagi ditutup.

Pengusaha premis pengurup wang yang hanya mahu dikenali sebagai Chew mengakui ketiadaan pelancong yang masuk untuk bercuti di dalam negara memberi kesan yang sangat teruk terhadap perniagaannya.

“Saya boleh katakan 60 hingga 70 peratus sumber pendapatan saya bergantung kepada pelancong antarabangsa yang datang menukar duit di premis ini. Sejak penguatkuasaan PKP tahun lalu dan penutupan sempadan negara, bisnes saya mengalami kejatuhan mendadak.

“Yang ada sekarang cuma pekerja warga asing yang datang untuk melakukan transaksi pengiriman wang kepada keluarga mereka di kampung. Tetapi itu pun tidak mendatangkan untung, hanya wang untuk bertahan sahaja,” katanya kepada Majoriti.

Chew yang sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu memberitahu, perniagaan restoran yang diusahakan olehnya turut mengalami nasib sama kerana larangan dine-in yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Dia bagaimanapun akur dan faham dengan keputusan kerajaan untuk tidak membuka sempadan negara berdasarkan situasi semasa Covid-19 dalam negara yang masih berada di tahap membimbangkan.

“Saya rasa jika keadaan berterusan seperti ini, saya hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini sebelum 'bungkus',” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengurus premis pengurup wang yang hanya ingin dikenali sebagai Karim berkata, premisnya yang tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan sebelum musim pandemik lalu kini boleh dianggap seperti 'hidup segan mati tak mahu'.

"Dulu boleh dikatakan kami melakukan lebih daripada 150 transaksi dalam sehari, tetapi kini jika sudah dapat 10 transaksi sehari pun sudah bersyukur.

Menurutnya, mereka terpaksa mengehadkan tempoh operasi disebabkan ketiadaan pelanggan dan mahu menjimatkan kos operasi harian.

"Apa boleh buat? Pelancong tak ada. Orang kita pun tidak dibenarkan ke luar negara, jadi tiada keperluan untuk mereka menukar wang," katanya.

Karim berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian akibat ketiadaan pelanggan, dia tetap harus membayar sewa penuh kepada pemilik bangunan yang enggan mengurangkan harga sewa.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

karier, pengurup wang, pkp, sempadan negara,