SUKA atau tidak, semakin ramai rakyat Malaysia yang mengalami tekanan perasaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Buktinya, sebanyak 122,328 panggilan aduan telah diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara 1 Januari 2021 hingga 18 Jun 2021.
Ia mencatat jumlah peningkatan ketara berbanding 36,269 panggilan yang diterima talian yang boleh diakses melalui nombor 088 338088 itu ketika PKP 1.0 antara 25 Mac 2020 hingga 19 Oktober 2020.
Sebanyak 109,806 kes atau 89.4 peratus daripadanya berkait rapat dengan isu-isu psikologi termasuk hilang punca pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan dengan ahli keluarga serta masalah rumah tangga seperti pertengkaran, perpisahan, penceraian, penderaan emosi dan fizikal.
50 peratus daripada panggilan orang awam turut membabitkan isu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres, bimbang dan murung, masalah hubungan, persepsi negatif orang sekeliling serta bimbang dijangkiti sementara panggilan lain termasuk masalah berkaitan bantuan keperluan asas, bantuan kewangan dan sumbangan.
Pakar kesihatan, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh juga tidak menolak kemungkinan terdapat pertambahan pesakit yang akan dimasukkan ke hospital sakit jiwa atau berjumpa dengan pakar psikiatri disebabkan sakit mental, lebih-lebih lagi sekiranya Covid-19 berterusan.
Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleaneagles Kuala Lumpur itu berkata, pihaknya telah mengkaji kesan psikososial sejak pandemik itu melanda pada tahun lalu.
Katanya, kajian mendapati, peningkatan kelaziman (prevalence) mula dilihat di klinik swasta itu sejak awal tahun ini.
Jumlah pesakit ke hospital sakit jiwa atau berjumpa pakar psikiatri dijangka akan meningkat sekiranya pandemik Covid-19 berpanjangan, dakwa Dr Nor Hamidah. — Nona
“Kita melihat kebanyakannya adalah golongan berpendapatan sederhana hingga ke atas.
“Tetapi pada masa ini kemasukan mereka ke klinik adalah terhad disebabkan jumlah penularan Covid-19 yang tinggi,” katanya kepada Majoriti.
Justeru, katanya, orang ramai bertanggungjawab untuk mencari kumpulan terbabit.
“Ini adalah peristiwa hidup yang besar (kehilangan) yang boleh menyebabkan tekanan sekiranya kita tidak menghulurkan tangan melalui saluran keluarga, masyarakat mahupun komuniti.
“Semoga wabak ini tidak bertahan lama, “ katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, tidak mustahil, jumlah panggilan psikososial akan terus meningkat, sekiranya bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tidak dilakukan dengan cara yang lebih kreatif.
Beliau berkata, bantuan kewangan yang diberikan kerajaan secara ‘one-off’ hanya mencukupi dalam tempoh beberapa hari.
“Selain bantuan (kewangan), kita perlu ada cara lain. Ada pepatah mengatakan, ‘Do not give a man a fish, but teach him how to fish’. Maksudnya, kita perlu beri peluang perniagaan seperti idea jika mereka tiada pinjaman modal, itu yang boleh kita buat. Bagi mereka ruang supaya boleh keluar dari kepompong kesusahan berbanding sekadar bantuan wang ringgit," katanya.
Dr Mariani berkata, jumlah panggilan psikososial akan terus meningkat sekiranya bantuan diberi kepada rakyat terkesan akibat pandemik tidak kreatif. — Bernama
Mengulas lanjut, Dr Mariani turut mengesyorkan supaya kaunseling bergerak diwujudkan dengan kerjasama pekerja sosial yang telah divaksin bagi membantu individu terkesan akibat pandemik, selain turut mendapat sokongan semua pihak termasuk jiran, ketua kampung, wakil rakyat mahu pun mana-mana menteri seperti mana tercetusnya kempen bendera putih yang dilaksanakan rakyat baru-baru ini.
“Contohnya anak tidak keluar bilik seminggu, jadi itu sudah isyarat jelas dari aspek tekanan emosi dan mental. Di sinilah saluran bantuan perlu diberikan kaunselor supaya kalau ada sistem kaunseling bergerak, maka bila ‘on call’ mereka akan datang.
"Sistem bantuan itu perlu dibuat secepat mungkin tanpa birokrasi-birokrasi yang banyak kerenah. Ketika ini ramai orang sakit mental dan stres, jika banyak birokrasi mereka akan ‘burn out’ (hilang harapan) dan lama-lama akan ‘fed up’ (putus asa),” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mariani begitupun menjelaskan orang ramai tidak sepatutnya keliru perbezaan antara sakit mental dengan kesihatan mental.
Jelasnya, kesihatan mental melibatkan emosi, perasaan marah, geram, bimbang, cemas.
“Tapi, kalau mereka yang menghidap sakit mental begitu waras, tidak boleh membuat keputusan mengikut rasional yg sebenar, yang kadang kala tidak kenal diri sendiri dan urus diri sendiri.
“Jadi, lazimnya orang yang masuk ke Hospital Bahagia itu perlu diberi identifikasi apa jenis sakit mental yang mereka hidapi.
“Tapi kalau setakat kesihatan mental terjejas,setakat tak boleh berfikir, buntu, marah, cemas, bunuh diri serta tidak tahu nak buat apa, ia tidak dirujuk sebagai sakit mental,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pakar Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Suzanna Awang Bono pula berkata, peningkatan jumlah panggilan yang diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial menunjukkan masyarakat menyedari keadaan kesihatan mental masing-masing, selain mengetahui platform untuk meminta bantuan psikososial.
“Saya sarankan, kita harus ubah gaya hidup termasuk diet pemakanan, tidur, kurangkan merokok, kurangkan minum arak, bersenam serta menyertai kumpulan sokongan kesihatan mental sekiranya memerlukan bantuan. Tambahan pula, kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya.
Dr Suzanna berpendapat, peningkatan jumlah panggilan Talian Bantuan Psikososial menunjukkan masyarakat peka degan kesihatan mental masing-masing.
Pada masa sama, ujar Dr Suzanna, pemain media sosial juga perlu bertanggungjawab memainkan peranan menyediakan dan menyebarkan maklumat sahih dari sumber dipercayai seperti KKM dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).
"Berita palsu hanya mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, situasi juga akan menjadi lebih buruk jika seseorang menghidapi Long Covid. Bekas pesakit Covid-19 mungkin akan mengalami kelesuan, kesukaran bernafas, kesukaran untuk tidur atau beberapa simptom Long Covid yang lain dalam tempoh yang panjang dan simptom fizikal ini boleh menjejaskan kesihatan mental mereka," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram