Tujuh Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan


  • Primer
  • Jumaat, 10 Sep 2021

ISMAIL Sabri berkata, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memberi pandangan. — The Star

RANG Undang-Undang Anti-Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen adalah antara tujuh Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, yang diumumkan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran itu dibuat bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, tawaran itu antara lain termasuk pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat, justeru satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan juga akan dibentangkan.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan juga akan dipinda bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Malah, beliau turut menawarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

“Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

“Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

“Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata, tawaran itu dilaksanakan setelah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

Beliau berkata, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Katanya, fokus dan keutamaan yang perlu diberikan kepada semua pihak ketika ini adalah kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, RUU, tawaran