RAKYAT perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu sebelum bertindak menyalahkan kerajaan susulan keputusan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi kawasan Lembah Klang.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir tidak menolak kemungkinan ada kecenderungan menyalahkan kerajaan sekiranya kes Covid-19 meningkat, namun sebahagian kesalahan itu sebenarnya terletak di bahu rakyat sendiri yang sewenang-wenangnya melanggar SOP.
“Rakyat sendiri perlu ambil langkah proaktif dan akur kepada SOP yang telah dilaksanakan dan bukan hanya salahkan kepada kerajaan semata-mata,” katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagi kawasan Lembah Klang berkuat kuasa pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan peralihan itu yang membabitkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi mesyuarat yang diadakan pada Rabu.
Antara kelonggaran yang diberikan untuk negeri-negeri di dalam Fasa 2 ialah kebenaran merentas daerah dan melancong dalam negeri yang sama dengan melibatkan penginapan di hotel serta homestay bagi individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Pandemik berlangsung lama akan mempersulit rakyat bergerak ke hadapan, kata Jeniri Amir. — Bernama
Bersetuju dengan langkah itu, Jeniri yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, ia penting bagi menyeimbangkan sektor kesihatan dan ekonomi.
Katanya, pandemik yang berlangsung dalam tempoh lama ini akan mempersulitkan rakyat bergerak ke hadapan bukan sahaja ekonomi, malah turut memberi kesan dari segi sosial dan mental.
Beliau berkata, meskipun keputusan dilakukan kerajaan itu agak merisaukan dan drastik ketika angka Covid-19 masih tinggi, namun kadar vaksinasi penduduk di negara ini adalah membanggakan.
Tambahnya lagi, keputusan itu juga dilakukan berdasarkan kajian data dan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu dan bukannya secara semborono.
“Kita harus bersedia untuk berubah ke keadaan endemik. Kita tak boleh selamanya berada dalam keadaan sekarang.
“Rakyat juga nak survive terutamanya B40 di Kuala Lumpur dan Selangor.Kerajaan juga tak selamanya dapat menghulur bantuan.
“Rakyat juga perlu menggunakan kelonggaran mengikut kebijaksanaan mereka dan bukannya bertindak seolah-olah kita sudah bebas daripada masalah (Covid-19) yang kita hadapi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, keputusan kerajaan yang membenarkan peralihan Fasa 2 PPN di Lembah Klang itu setelah mengambil kira masalah ekonomi, supaya sektor itu dapat dicergaskan dan diaktifkan kembali serta memudahkan halangan.
Katanya, meskipun kes Covid-19 masih tinggi namun ia adalah terkawal kerana kadar vaksinasi yang tinggi.

Zainal Kling menafikan kerajaan ketika ini gagal kerana berjaya menjalankan vaksinasi. — Bernama
Ketika ditanya sama ada kerajaan ketika ini disifatkan sebagai gagal, Zainal menafikan perkara itu kerana Malaysia adalah sebuah negara yang maju dan berjaya menjalankan vaksinasi.
“Tapi dulu pembangkang yang sibuk kata gagal sebab mereka mahu memerintah, tapi bila kerajaan sudah berubah dan anggota-anggota Kabinet masih dikekalkan, maka mereka pun kata kerajaan masih lagi kerajaan sambungan lama dan gagal.
“Kita (kerajaan sekarang) tidak gagal, kita berjaya untuk kawal pada tahap yang masih tinggi dan berjaya memperbanyak vaksinasi di kebanyakan negeri. Dari sudut lain, kita juga sedang berusaha mengawal SOP,” jelasnya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
.
