SETAKAT dua minggu mentadbir negara, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat belum melakukan sebarang usaha yang progresif ke arah memastikan negara bebas rasuah, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
Beliau berkata, tempoh 100 hari yang diberikan Perdana Menteri kepada barisan Kabinet seharusnya digunakan sebaik mungkin dalam menangani isu rasuah di negara ini.
"Sebelum ini kita tidak nampak sebarang usaha yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melainkan tawaran di saat akhir ketika kerajaan itu hampir runtuh yang mana terdapat usaha untuk melaksanakan perancangan mengintegritikan ahli politik.
"Jadi untuk kerajaan hari ini, tempoh 100 hari ini perlu digunakan sebaiknya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan kali ini memandang serius isu rasuah," katanya kepada Majoriti.
Jais Karim mengulas tentang isu rasuah negara.
Pada masa sama, beliau berkata, kemelut politik dan pandemik Covid-19 adalah antara penyebab kerajaan terdahulu gagal melaksanakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).
"Pelan ini telah diasas kukuh oleh pemerintah terdahulu, namun tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan negara berdepan Covid-19 dan kemelut politik yang tidak pernah habis. Amat sayang sekali kerana NACP ini adalah pelan terbaik dan diiktiraf di peringkat dunia.
"Sekiranya pelan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya, saya yakin dan percaya bahawa masalah rasuah di negara ini akan dapat diatasi," katanya.
Sementara itu beliau mencadangkan agar akta parti politik Malaysia yang mana ia merangkumi pelbagai etika ahli politik dapat dilaksanakan sebagai langkah permulaan kerajaan hari ini menangani isu rasuah.
"Keazaman politik bagi mengintegritikan ahli politik negara mesti dilaksanakan segera menerusi pengenalan undang-undang baharu sebagaimana yang telah dicadangkan demi melahirkan pemimpin berprinsip mulia, berpendidikan dan berpengetahuan serta mempunyai etika yang tinggi.
"Setakat ini, memang ada keazaman tersebut tetapi amat tidak mencukupi dan terdapat banyak kekurangan yang perlu ditambah baik," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram