Undi18: Berita gembira buat orang muda


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

SYED Saddiq adalah pemimpin yang berjuang menjayakan pelaksanaan Undi18 ketika pentadbiran kerajaan PH. — THOMAS YONG/The Star

PERINTAH Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia melaksanakan undi untuk warga negara berusia 18 (Undi18) menjelang 31 Disember ialah berita yang baik untuk orang muda, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pihaknya berharap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menunaikan tanggungjawab kepada orang muda melalui pelaksanaan Undi18 ini seperti komitmen Perdana Menteri itu ketika menjadi Ketua Pembangkang pada Julai 2019.

"Jelas ada komitmen untuk laksanakan Undi18 sebelum 31 Disember 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mengimbas kembali komitmennya memperjuangkan pelaksanaan Undi18 ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Ketika pentadbiran PH, mereka mewakilkan saya sebagai menteri untuk berunding dengan semua Ahli Dewan Rakyat termasuklah dari Umno, PAS dan lain-lain untuk menurunkan had umur mengundi ke 18 tahun.

"Pada Julai 2019, Dewan Rakyat sebulat suara majoriti bersetuju untuk turunkan had umur mengundi ke 18 tahun.

"Umno, DAP, PAS, PKR, Warisan, Amanah, Bersatu dan semua parti bersetuju orang muda seawal usia 18 tahun boleh mengundi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya agak kecewa apabila Undi18 ditangguhkan kepada 1 September tahun hadapan melalui kenyataan SPR pada 25 Mac lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan sebagai berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika itu yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pada mulanya ada komitmen untuk melaksanakan Undi 18.

"Malangnya, mereka menggunakan alasan Covid-19 dan PKP untuk menangguhkan Undi18 ke September 2022, sedangkan urusan menurunkan umur mengundi tidak ada kena-mengena dengan PKP atau Covid-19," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai dilaporkan berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram