"Kau buang! Kau buang!" Lagi insiden mengamuk tersebar


  • Tular
  • Jumaat, 10 Sep 2021

TANGKAP layar video menunjukkan aksi seorang lelaki menghentak kenderaan pacuan empat roda menggunakan kayu. — Facebook

SATU lagi insiden mengamuk tersebar di media sosial pada malam Khamis, hanya beberapa hari selepas negara dikejutkan kejadian amuk di Perak.

Kali ini, video berdurasi satu minit itu memaparkan kejadian yang dipercayai berlaku di lokasi Water Front, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam video tersebut, seorang lelaki berpakaian putih bersenjatakan kayu bertindak ganas dengan berulang kali menghentak sebuah kenderaan pacuan empat roda atas sebab yang tidak diketahui.

Tindakannya itu dilihat sebagai cubaan untuk memaksa pemandu kenderaan terbabit berhenti.

Malah lelaki berkenaan juga cuba membuka pintu pemandu tetapi tidak berjaya.

Kemudian kelihatan seorang anggota polis muncul mengarahkan lelaki berkenaan membuang senjatanya.

Ketika polis dan lelaki itu bersemuka, pemandu kenderaan terbabit dilihat mengambil kesempatan untuk melarikan diri dengan melanggar palang pondok pengawal keselamatan.

Selang beberapa saat kemudian muncul lagi seorang lelaki yang bertindak memarahi lelaki bersenjatakan kayu tersebut.

Menurut maklumat daripada Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia yang memuatnaik klip video itu, kejadian itu dipercayai berpunca akibat insiden langgar lari tetapi tiada maklumat lanjut diperolehi setakat ini.

Video itu ditonton hampir 4,000 kali sejak dimuat naik.

Antara komen disuarakan netizen adalah gesaan agar polis menjadi lebih tegas dalam menghadapi situasi berkenaan.

"Inilah masanya untuk polis menjadi lebih tegas," kata Dawi Da.

"Bulan ni ramai orang mengamuk," kata Fadzil Azanizam merujuk kepada kejadian amuk di Gopeng, Perak baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjatakan sabit bertindak menghayun senjata itu sambil berdiri di atas sebuah kereta polis.

Suspek yang merupakan warga emas dan dipercayai kurang siuman kini direman polis selama empat hari bermula Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram