
VIDEO seorang lelaki berang ketika dia melihat seorang bapa memukul anak di depannya menjadi tular di sosial media hari ini.
Hantaran video di laman sosial Twitter oleh @admqrie memaparkan tentang seorang lelaki bangsa India menghantar kanak-kanak perempuan yang berkeliaran seorang diri di ibu kota pada waktu malam.
Dalam video itu, lelaki berkenaan membawa kanak-kanak itu menemui bapanya.
Dia menegur bapa kanak-kanak itu kerana membiarkan anaknya. Dia juga memberitahu bahawa kanak-kanak itu sudah beberapa kali hampir dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan.
Bapa kanak-kanak itu yang kelihatan seperti khayal bagaimanapun bertindak menumbuk anaknya membuatkan lelaki itu berang dan memarahinya dengan kekerasan.
LELAKI itu membawa pulang kanak-kanak berkenaan bertemu bapanya.
Ditonton lebih 339,000 kali, video berkenaan juga mendapat pelbagai reaksi netizen yang simpati dan sedih dengan nasib kanak-kanak itu.
Video itu juga mendapat lebih 14,000 tanda suka dan dikongsi lebih 17,000 kali.
Seorang pengguna Twitter, @frzismail turut berkongsi sambungan video berkenaan yang memaparkan tindakan anak berkenaan yang cuba menghalang bapanya daripada dipukul lelaki berkenaan.
KANAK-KANAK itu meminta lelaki berkenaan supaya tidak melaporkan tindakan bapanya kepada pihak polis.
Video itu juga mendapat tontonan lebih 280,000 kali dengan lebih 8,700 tanda suka dan dikongsi lebih 2,900 kali.
Pemilik akaun, @fyalbrahim meluahkan rasa sedih melihat tindakan kanak-kanak berkenaan yang mempertahankan bapanya meskipun dia telah dipukul sebelum itu.
Dia juga berkongsi pendapat bahawa jika seseorang tidak mampu untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada seorang anak sebaiknya jangan merancang untuk mempunyai zuriat terlebih dahulu.
"Hati saya tersentuh melihat seorang anak mempertahankan bapanya sedangkan bapa dia sendiri tiada perasaan dan memukul dia. Jika tak mampu nak tanggung anak tidak perlu untuk ada zuriat sendiri," kongsinya.
Ada juga netizen yang menghargai tindakan lelaki India itu kerana menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.
Komen yang dikongsi oleh @eh_annas menyatakan bahawa difahamkan bapa kanak-kanak itu sedang mabuk dan jika lelaki itu tiada bersama anak itu ditakuti akan lebih teruk dia dipukul.
"Terima kasih juga pada abang itu kerana ada di sana, sekurang-kurangnya dapat melakukan sesuatu untuk kanak-kanak itu. Aku dengar bapa budak tu mabuk? Separa sedar tu. Dari patah riuk dikerjakan bapanya,Terima kasih abang kamu telah selamatkan kanak-kanak itu walau hanya sebentar," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram