PENDUDUK Gopeng, serta warga maya pada Rabu digemparkan dengan kejadian seorang lelaki disyaki kurang siuman sedang berdiri di atas sebuah kereta polis sambil menghayun sabit panjang kepada orang ramai yang cuba menghampirinya.
Video kejadian itu yang tular di media sosial menarik perhatian warga net yang meluahkan rasa simpati kepada anggota penguatkuasaan berusaha mengawal keadaan tanpa mencederakan lelaki terbabit.
Kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi Rabu di depan Balai Polis Gopeng, Perak.
Selain anggota polis turut berada di tempat kejadian adalah anggota bomba serta orang awam yang dilihat menyerbu lelaki terbabit sebaik sahaja dia "ditembak" dengan air oleh anggota bomba.
Nasib lelaki itu bagaimanapun tidak ketahui selepas berjaya ditenangkan oleh anggota penguatkuasa dan orang ramai.
"Ya Allah, kesian dekat anggota keselamatan, bersabung nyawa demi tugas dan sesuap nasi," tulis Liza Taiping.
"Bomba semua kerja dia tapau, memang terbaik semua kepakaran ada," tulis seorang lagi pengguna Facebook Amirox Mohd.
Ramai juga diantara warga net yang meluahkan rasa simpati terhadap suspek, serta mendoakan individu terbabit diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan hidup.
"Kesian dia, berilah dia kekuatan menghadapi dugaan yang dilaluinya.
"Berilah sokongan moral untuk dia melaluinya," tulis Shaidah Mazlan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram