
SEORANG lelaki warga emas yang ditahan selepas dipercayai bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng, Perak pada Rabu kini direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Hasron Nazri Hashim berkata, lelaki berusia 61 tahun itu direman bermula Khamis sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut.
"Reman selama empat hari dari 9 sehingga 12 September,” katanya ringkas dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Pada Rabu, video tular di media sosial memaparkan warga emas itu berdiri di atas kereta peronda polis serta menghayunkan sabit ke arah sesiapa yang mendekatinya.
Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian menyembur air ke arahnya sebelum suspek dicekup anggota polis.
Sebelum kejadian, suspek dilaporkan datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai.
Sebelum itu, suspek dilaporkan mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas lelaki yang berusia lingkungan 61 tahun itu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.
Katanya, suspek juga didapati mempunyai 16 rekod lampau membabitkan pelbagai jenis kesalahan jenayah dan narkotik.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram