Operasi MPAJ bersihkan cop parkir, ramai desak PBT lain ambil tindakan serupa


TANGKAP layar operasi pembersihan cop parking MPAJ dipuji netizen. — Facebook

KEHIDUPAN di komuniti perumahan bertingkat kos rendah terutama di sekitar Lembah Klang tidak dapat lari daripada masalah kepadatan kenderaan.

Sikap suka cop tempat letak kereta menjadi antara perkara yang menjengkelkan dan boleh menjadi punca pergaduhan sekiranya perbuatan itu ditegur segelintir pihak.

Pada Rabu, tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu video yang tular di laman sosial Facebook mendapat perhatian warga netizen.

Video yang dikongsi oleh akaun Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia itu memaparkan MPAJ melakukan operasi mengutip kon dan barangan yang digunakan penduduk di sebuah kawasan kediaman di Ampang, Selangor.

Dalam video berdurasi 29 saat itu, seorang wanita merakam operasi yang dijalankan oleh MPAJ sambil bersorak sendiri dalam nada gembira.

"Ya inilah yang kita mahu, ambil lagi semua kon itu. Jadi janganlah mahu cop tempat letak kereta lagi," soraknya dalam video itu.



RAMAI netizen yang mahu PBT kawasan mereka melakukan operasi sama di kawasan mereka.

Hantaran itu mendapat lebih 430 reaksi dan lebih 130 komen warga netizen.

Kebanyakan mereka memuji tindakan MPAJ dan berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan perkara yang sama di kawasan mereka.

Ada juga antara mereka yang memberi cadangan untuk membendung sikap cop tempat letak kereta ini.

Pemilik akaun, Nazriah Salim meninggalkan komen menyatakan tindakan itu wajar untuk mendidik golongan yang pentingkan diri sendiri.

"Bagus memang harus diajar orang yang pentingkan diri sendiri. Terbaik," komennya.

Seorang lagi pemilik akaun, LA LLurza pula berkongsi tindakan yang diambil oleh Kelab Rukun Tetangga di kawasannya dalam menangani isu ini.

Tulisnya, golongan muda di kawasannya memainkan peranan dalam menangani isu berkenaan.

"Sekarang sudah tiada masalah sebegini. Ada yang cuba nasib dengan meletakkan kon dan motor.

"Tapi perbuatan itu sebentar sahaja kerana KRT dan belia di sini akan lakukan tugas mereka.

"Mereka akan alihkan motor dan buang kon yang digunakan. Ada yang melawan tetapi kami membalas bahawa ini adalah hak bersama dan tolong hormat. Siapa cepat dia dapat," kongsinya.

Berdepan kejadian kereta dicalarkan kerana meletakkan kenderaan yang dicop secara haram, pemilik akaun Sis Anna juga meminta PBT kawasan Bukit Beruntung supaya melakukan tindakan yang sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MPAJ, operasi, cop parking, ampang