PEMANDU lori yang merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh di ibu negara pada Isnin disahkan positif dadah, kata polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lori yang dipandu oleh suspek berusia 25 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh dua Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.
Kejadian yang berlaku pukul 2.40 petang itu menyaksikan pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan selepas terperangkap dalam kenderaannya sebelum diselamatkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
"Lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat apabila sampai di lampu isyarat Jalan Ipoh.
"Pemandu Myvi itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapat rawatan di Zon Hijau Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sarifudin berkata, ujian awal mendapati suspek tidak dipengaruhi alkohol namun ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Pada Isnin, tular di media sosial rakaman kamera perakam video yang memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
Berdasarkan maklumat, kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram