Penunggang basikal maut digilis lori simen


  • 112
  • Khamis, 02 Sep 2021

BASIKAL ditunggang mangsa yang maut digilis lori simen di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang malam tadi. — Facebook/Polis Trafik Kuantan

SEORANG pekerja restoran yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas basikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah lori simen di Jalan Tanjung Lumpur, Sungai Soi, Kuantan, Pahang pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.05 malam itu, mangsa, Mohammad Hazami Ghani,19, dari Perkampungan Sungai Soi Jaya 1 yang parah di bahagian dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, bagaimanapun pemandu lori berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari Sungai Soi menghala ke bandar Kuantan dan lori simen juga dari arah yang sama.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, basikal mangsa bergesel dengan lori berkenaan menyebabkan ia terjatuh sebelum digilis," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

basikal, lori, kemalangan, Kamarulzaman Jusoh,