TUJUH remaja dilaporkan hilang semasa beriadah di Jeram Gunung Hitam di Sungai Lui, Kuala Langat selamat dibawa turun oleh pasukan penyelamat pada pagi Isnin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis.
Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia 18 tahun itu berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Hitam kira-kira jam 5.59 pagi pada Isnin.
"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat pada jam 1.51 pagi.
"Mangsa telah ditemui oleh pihak Bomba dalam keadaan selamat dan usaha membawa turun mangsa mengambil masa kira-kira empat jam.
"Operasi mencari dan menyelamat tamat pada jam 6.30 pagi," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang pada Ahad.
"Kesemua mangsa itu sesat di hutan berkenaan ketika beriadah. Mereka dapat dihubungi melalui talian telefon dan memaklumkan tidak mengalami kecederaan," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Syahrin Yusma Mat Yusof berkata, seramai 36 anggota SAR termasuk lima penduduk tempatan terlibat dalam operasi yang bermula sejak jam 9.30 malam pada Ahad.
Kesemua mangsa yang berasal dari Lembah Klang sebelum ini dilaporkan sesat setelah menaiki Gunung Hitam dan melakukan aktiviti perkhemahan pada Sabtu petang.
Mereka yang dijadualkan turun semula ke kaki gunung pada Ahad bagaimanapun dilaporkan sesat dan sempat menghubungi talian kecemasan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram