16 jam sesat dalam hutan, tujuh remaja alas perut dengan air sungai


  • 112
  • Isnin, 06 Sep 2021

MANGSA dapat menghubungi Bomba kerana masih terdapat liputan telefon dalam hutan. — Astro Awani

TUJUH remaja yang tersesat di Gunung Hitam, Hulu Langat, Selangor pada petang Ahad hanya menjadikan air sungai sebagai pengalas perut, sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat 16 jam kemudian.

Mengimbas kembali detik yang mencemaskan itu, salah seorang remaja berkenaan, Mikhail Adam Yusri, 18, berkata, dia dan rakan-rakannya pada awalnya berhasrat untuk pergi ke Jeram Enam, Sungai Lawing kerana diberitahu tempat itu lebih menarik.

Katanya lagi, sebelum memulakan perjalanan ke Jeram 6, mereka sempat mengalas perut dengan mi segera dan kopi sekitar jam 10 pagi Ahad.

"Tempat yang kami pasang khemah tu di Jeram 1, dan kami bercadang ke Jeram 2. Dalam perjalanan ke tempat tersebut, ada orang bagi tahu ada lagi satu jeram, iaitu Jeram 6, dan jaraknya hanya 30 minit.

“Malangnya kami tersalah jalan kerana laluan ke jeram itu terdapat pokok tumbang. Jadi, kami cuba mencari laluan lain dan terus mendaki, dan akhirnya kami rasa macam tersasar jauh dari laluan asal.

“Jam ketika itu sudah 4 petang. Nak turun balik hujan sedang lebat. Kami asalnya bercadang untuk ikut laluan air sungai, tapi sebab hujan lebat, takut pula kepala air. Masuk hutan, trek sudah hilang. Sampai satu tahap, tak boleh turun atau naik, jalan mati,” katanya.

7 remaja sesat di Jeram Gunung Hitam selamat dibawa turun

Mikhail Adam berkata, mereka begitupun berasa syukur kerana sepanjang berada di dalam hutan, masih terdapat liputan telefon dan berjaya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Namun, beliau berkata, pihak penyelamat ketika itu sukar untuk pergi ke lokasi mereka kerana faktor hujan lebat, menyukarkan mereka untuk berkongsi lokasi yang tepat dengan bomba.

“Dah dekat Maghrib, akhirnya hujan berhenti, dan kami mendengar bunyi air sungai berhampiran. Namun kami dapati untuk ke sungai itu laluan agak berbahaya dan curam. Tetapi kami tekad untuk mengambil risiko, sehingga terpaksa menggelungsur. Sampai sana, dekat nak ke sungai, dah dekat Maghrib. Dekat sungai itulah kami menghantar accurate location (tanda kedudukan tepat).

“Pada awalnya, bomba cakap tak boleh naik sebab keadaan berbahaya dan sudah malam. Lebih kurang esok pagi baru boleh naik. Tetapi akhirnya, sebab mereka sedia maklum keadaan kami, 11.30 malam kami diberitahu bahawa mereka buat keputusan untuk naik juga. Bermula dari jam 11.30 malam, akhirnya pukul 1.55 pagi baru jumpa kami,” imbasnya lagi.

Mikhail Adam berkata, biarpun tersesat selama 16 jam dan hanya air sungai menjadi pengalas perut, mereka berasa amat bersyukur kerana berjaya ditemui dengan selamat.

Terdahulu media melaporkan, tujuh remaja yang dilaporkan hilang ketika menuruni Gunung Hitam dekat Sungai Lui, Hulu Langat ditemui selamat di lokasi kira-kira 500 meter dari tapak perkhemahan mereka pada 1.51 pagi Isnin.

Usaha membawa turun kesemua mangsa berusia sekitar 18 tahun itu dilakukan oleh 36 anggota mencari dan menyelamat terdiri daripada pasukan bomba, polis dan penduduk tempatan.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomb 1, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan terkejut namun selamat dan usaha membawa turun mangsa mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, remaja, sesat