SOKONGAN terhadap perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang berasaskan reformasi dengan kerajaan merupakan langkah yang wajar bagi memberi fokus untuk perang melawan Covid-19.
Perkara itu dinyatakan oleh Veteran DAP Lim Kit Siang yang juga memberikan sokongan terhadap perjanjian berkenaan. Menurut beliau, semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik mesti bersatu dalam usaha nasional tersebut.
"Adalah penting untuk kita mengetepikan politik dan memberi tumpuan untuk memastikan Malaysia pulih daripada pandemik Covid-19.
"Penting bagi kita untuk memastikan bahawa jangkitan wabak ini dapat dikurangkan daripada tiga digit pertama dan kemudian angka dua digit dan mengurangkan kematian Covid-19 kepada angka dua digit pertama dan kemudian kepada satu angka," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, tumpuan untuk memerangi Covid-19 merupakan sebab kenapa dia memberi sokongan terhadap perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi dengan kerajaan.
Perjanjian berkenaan memerlukan semua pihak mengetepikan politik selama 12 hingga 18 bulan dan semua rakyat Malaysia memberi tumpuan untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Kit Siang berharap agar pembaharuan CSA mestilah perjanjian yang bermakna, dan bukan dokumen kosong.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PH sebagai langkah awalnya untuk menjalin kerjasama yang lebih baik terutama dengan pihak pembangkang.
Pada pertemuan itu, Ismail menjemput pembangkang membantu kerajaan menangani Covid-19 dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara. Beliau juga menandatangani kenyataan bersama dengan pemimpin tertinggi PH yang antara lain berikrar akan memperkasa Parlimen.— Majoriti.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram