PERSELISIHAN faham antara bekas Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Afghanistan, Syed Ahmad Shah Saadat dan Presiden, Ashraf Ghani pada tahun lalu, menyebabkan Syed Ahmad Shah membawa diri ke Jerman.
Meskipun pernah memiliki portfolio sebagai menteri serta mempunyai dua Sarjana dalam bidang Komunikasi dan Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Oxford, namun Syed Ahmad Shah baru-baru ini menjadi perbualan hangat selepas gambarnya menaiki basikal sambil menghantar pizza tular di Internet.
Gambar tersebut dirakam oleh seorang wartawan tempatan di Leipzig.
"Beberapa hari lalu, saya bertemu seorang lelaki yang mengaku beliau menjadi Menteri Komunikasi Afghanistan selama dua tahun. Saya bertanya apa yang beliau lakukan di Leipzig dan beliau menjawab mahu menghantar pizza dari Essen," kata wartawan berkenaan yang tidak didedahkan identitinya.
Foto itu menunjukkan Syed Ahmad Shah memakai uniform berwarna oren dan menggalas beg pizza.
Syed Ahmad Shah tiba di Jerman pada Disember tahun lalu dan selepas setahun di negara itu, beliau mengambil keputusan untuk bekerja sebagi penghantar pizza.
Foto tersebut tersebar ketika Afghanistan sedang mengalami salah satu krisis terburuknya.
Krisis terbaru melanda negara itu apabila kumpulan Taliban kembali menguasai Afghanistan sejak seminggu lalu.
Sewaktu ditanya tentang perkembangan di Afghanistan, Syed Ahmad Shah mengatakan pemerintahan Ashraf tumbang dengan cepat dan tidak dijangkakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram