Malaysia perlu perkukuh penjagaan sempadan


  • Primer
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

PEMBANGUNAN Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia menjadi antara faktor penguatkusaan penjagaan sempadan perlu diperkukuh. — Sinar Harian

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan sekurang-kurangnya satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) terutama di Sarawak bagi mengukuhkan lagi tahap kawalan keselamatan sempadan di negeri itu.

Ia susulan pembangunan Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia dan pada masa sama mengekang isu penyeludupan yang sering berlaku di sempadan Kalimantan-Sabah dan Sarawak.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim, masalah kekurangan anggota polis yang berkawal di sempadan itu juga dalam keadaan mendesak.

"Isu pemerdagangan dan penyeludupan bukanlah perkara baharu dan saban tahun akan ada kes baharu dan ia melibatkan bukan sahaja manusia tetapi barangan terlarang seperti rokok, arak dan dadah.

"Kami dalam perancangan menambah bilangan keanggotaan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) KDNKA berdasarkan kejayaan dan rampasan melibatkan jutaan ringgit yang dilakukan unit itu sejak ditubuhkan kurang empat tahun lepas," katanya.

Tambahnya lagi, ketika ini CPSK mempunyai 30 pegawai dan anggota yang dijangka ditambah bilangannya sehingga 100 orang tahun ini.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang memberitahu, penglibatan warga tempatan yang sanggup bersekongkol dengan sindiket yang didalangi warga asing kerana upah yang lumayan menjadikan isu penyeludupan masih berlarutan.

"Sindiket itu sanggup membayar upah antara RM200 hingga RM400 bagi seorang PATI yang berjaya diseludup.

"Punca utama sindiket itu mudah membolosi sempadan negara kerana kekurangan anggota keselamatan yang bertugas," ujarnya.

Faktor kekurangan aset di sempadan negara juga menjadi antara kelemahan diakui oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan PDRM memerlukan penambahan aset untuk menangani isu migran dengan lebih berkesan. Katanya, pelbagai kaedah dan cara digunakan tekong untuk membawa masuk migran ke dalam negara melalui lorong tikus.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PDRM, PGA, APMM, CPSK