Polis tahan empat suspek kes samun


  • 112
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

TANGKAPAN empat suspek berjaya menyelesaikan 11 kejadian pecah rumah di sekitar Johor Bahru Utara. —Bernama

EMPAT lelaki ditahan dalam serbuan berasingan susulan terbabit kes pecah rumah dan kedai serta samun di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, suspek masing-masing berusia antara 27 hingga 36 tahun itu ditahan Pasukan Petugas Jenayah yang ditubuhkan pihak Bahagian Siasatan Jenayah bagi mengesan individu berkenaan.

"Pasukan polis berjaya menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Skudai dan Iskandar Puteri selain merampas sejumlah dadah daripada mereka. Kesemua mereka mempunyai rekod kes jenayah lampau dan dadah," katanya.

Rupiah berkata, tangkapan itu sekali gus berjaya menangkap seorang lagi lelaki di kawasan perumahan Bandar Selesa Jaya serta merampas pelbagai barangan termasuk sebuah motosikal dan dadah.

Dengan tertangkapnya keempat-empat individu itu, katanya, polis berjaya menyelesaikan 11 kejadian pecah rumah dan kedai serta lima kes samun di sekitar Johor Bahru Utara dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Samun, Johor Bahru, Suspek