Tragedi gas bocor ketika bulan madu, suami bertopeng oksigen kuatkan diri iringi jasad isteri ke liang lahad


  • Benua
  • Ahad, 12 Okt 2025

‎Gilang (kanan) tetap menguatkan diri untuk hadir ke pengebumian isterinya, meskipun tubuhnya belum pulih sepenuhnya. — Agensi

KEGEMBIRAAN sepasang pengantin baharu yang sedang menikmati bulan madu bertukar tragedi apabila si isteri meninggal dunia, dipercayai akibat keracunan gas bocor di sebuah penginapan berhampiran Danau Diateh, Alahan Panjang, Solok, Sumatera Barat, Indonesia pada Khamis.

Mangsa iaitu Cindy Desta Nanda, 28, disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Alahan Panjang, manakala suaminya, Gilang Kurniawan, 28, yang kritikal kini dirawat di hospital selepas kejadian tragis itu.

Menurut Ketua Polis Sektor (Kapolsek) Lembah Gumanti, AKP Barata Rahmat Sukarsih, pasangan berkenaan yang berasal dari Padang mendaftar masuk ke penginapan tersebut pada Rabu (8 Oktober 2025).

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas helikopter California, saksi dengar bunyi aneh sebelum terhempas

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja pasar raya tergamak buat tak endah lihat wanita kemalangan motor

“Ketika pelayan tiba untuk menghantar sarapan pagi keesokan harinya, pasangan itu masih menyahut kehadiran pelayan,” katanya.

Namun, Barata memberitahu bahawa sarapan itu tidak sempat dihantar kerana pasangan berkenaan sedang mandi dan ketika pelayan datang semula, mereka tidak lagi memberikan sebarang respons.

“Bimbang dengan keadaan itu, pelayan memanggil rakan sekerja dan memecah masuk ke bilik. Mereka menemukan kedua-dua mangsa terbaring di lantai bilik mandi,” jelasnya.

Pasangan itu segera dibawa ke Puskesmas Alahan Panjang untuk rawatan kecemasan, namun Cindy disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat kesihatan tersebut.

Manakaka, Gilang pula dirujuk ke RSUD Arosuka dalam keadaan kritikal sebelum dipindahkan ke SPH Padang bagi rawatan lanjut.

Keadaan bilik mereka ketika diperiksa pihak berkuasa. — Agensi

Barata berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, walaupun terdapat andaian awal bahawa kebocoran tabung gas pemanas air di bilik mandi menjadi punca tragedi berkenaan.

“Kami belum dapat membuat kesimpulan. Semua kemungkinan masih terbuka,” ujarnya.

Dia menambah, lokasi penginapan yang berhampiran tasik menyebabkan cuaca di kawasan itu sangat sejuk dan penggunaan pemanas air merupakan perkara biasa dalam kalangan pengunjung.

Lebih menyayat hati apabila dalam keadaan masih lemah dan bergantung kepada alat bantuan oksigen, Gilang dilaporkan tetap menguatkan diri untuk hadir ke pengebumian isterinya, meskipun tubuhnya belum pulih sepenuhnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram