Tahi lalat sama dekat dagu, anak buah pertemukan dua sahabat sama belajar UiTM terpisah lebih 30 tahun


  • Tular
  • Sabtu, 30 Ogos 2025

Kak Yati kini dipercayai berada dan bekerja di Batu Pahat, Johor berdasarkan maklumat yang dikongsikan orang awam.

MEDIA sosial kini bukan sekadar tempat berkongsi cerita harian, malah menjadi jambatan menghubungkan semula insan yang telah lama terpisah.

Manakan tidak, dengan satu hantaran, ribuan mata dapat membantu menjejaki individu yang dicari.

Platform seperti Facebook terbukti memainkan peranan besar apabila kumpulan komuniti dijadikan ruang pencarian, memudahkan orang ramai mencari kenalan lama dan menghubungkan semula tali silaturahim yang terputus.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Ingatkan sampah, rupanya dadah', lelaki terkejut jumpa bungkusan ganja mampat di Kuala Sungai Padang

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Jalan rezeki yang ALLAH tentukan’, hikmah berhenti kerja, ibu muda cekal ambil upah lipat baju semurah RM10 sebakul sambil jaga anak

Perkara itu terbukti apabila seorang wanita, Asmiza Ahmad, berjaya menjejaki sahabat lamanya selepas lebih tiga dekad tidak bersua, hanya menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook WARGA BATU PAHAT | JOHOR.

Tangkap layar Asmiza memohon bantuan orang ramai untuk mencari rakannya dikenali Kak Yati dari Tongkah Pecah, Johor.

Asmiza yang pernah menuntut di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam, Selangor memohon bantuan orang ramai untuk mencari rakannya dikenali Kak Yati dari Tongkah Pecah, Johor.

"Assalamualaikum, saya mencari sahabat yang satu kelas dengan saya semasa kami belajar di ITM Shah Alam pada 1988.

"Sahabat saya ini adalah Kak Yati (Norhayati, tak ingat nama bapa) dari Tongkah Pecah, Johor.

"Saya berharap sangat jika ada yang mengenali sahabat saya ini. Dapatlah kiranya berhubung dengan saya. Saya dahulukan dgn ucapan terima kasih," tulisnya

Sejurus selepas itu, hantaran tersebut menerima pelbagai komen termasuk daripada seorang pengguna, Mohd Kafli Osman, yang memaklumkan rakannya bernama Norhayati sekali gus menguatkan lagi petunjuk pencarian tersebut.

“Nama dia Norhayati ke? Kawan saya ni ada tahi lalat tepi dagu,” tulisnya.

Petunjuk itu disahkan lagi apabila seorang pengguna lain, Suhana Burhan, tampil memaklumkan wanita yang dicari adalah ibu saudaranya.

"Mak saudara saya ini, betul. Mak lang, Yati Asari ada orang cari," katanya.

Lebih manis lagi, seorang pengguna Facebook, Zaki Hilmi Zainal Abidin turut meninggalkan komen memaklumkan Kak Yati adalah ibunya.

"Ini gambar mak saya. Saya anak kedua (daripada empat) beliau," katanya di ruangan komen.

Teruja dengan maklumat tersebut Asmiza kemudian menghubungi rakannya melalui mesej peribadi di Facebook dan kini menunggu maklum balas, manakala perkongsiannya menerima pelbagai reaksi positif warga maya yang tersentuh dengan kisah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram