[VIDEO] Anggota penyelamat sanggup tidur semalaman di jurang Rinjani sambil jaga jasad Juliana Marins


  • Benua
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Juliana Marins (kanan) ditemui meninggal dunia di Gunung Rinjani.

LANGIT malam di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia ketika itu bukan sahaja gelap tetapi juga sarat dengan gerimis dan kabus nipis.

Di kedalaman 600 meter jurang Danau Segara Anak di lokasi yang jarang sekali dijejaki manusia, empat anggota penyelamat terpaksa berpaut di tebing rapuh.

Mereka tidak bersendirian. Di sisi mereka terbujur mayat Juliana Marins iaitu pendaki dari Brazil yang hilang sejak Sabtu, 21 Jun 2025.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami di sini untuk pemandangan, so worth it', Juliana Marins sempat rakam vlog sebelum terjatuh dalam gaung Gunung Rinjani

BACA LAGI: Lepas 5 hari usaha menyelamat, Juliana Marins disahkan meninggal dunia lepas terjatuh gaung di Gunung Rinjani

Evakuasi berkenaan bukan sekadar satu tugasan tetapi, bagi mereka ia adalah misi kemanusiaan yang menyayat hati serta satu ujian terhadap keberanian dan batas fizikal manusia.

Meredah Jurang, Mencabar Tanah Runtuh

Syamsul Fadli atau lebih dikenali sebagai Otong dalam kalangan rakan-rakannya, menceritakan kembali detik-detik mendebarkan saat dia dan pasukannya terpaksa menuruni cerun curam yang dipenuhi batu dan pasir yang pada bila-bila masa boleh runtuh.

"Setiap kali kami melangkah, berlakunya runtuhan. Bukan sekadar pasir, tetapi juga batu daripada yang kecil hingga sebesar kepala," kongsinya kepada Kompas.com.

Sebelumnya, rakannya iaitu Agam yang kini tular dan digelar sebagai wira oleh warganet Brazil sudah terlebih dahulu sampai ke lokasi di mana Juliana ditemukan. Dialah yang mula-mula mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia.

Disusuli oleh Otong dan dua anggota lain, mereka memutuskan untuk bermalam di tebing curam itu. Bukan kerana mahu mencabar bahaya, tetapi kerana mustahil untuk melakukan misi menyelamatkan dalam gelap dan mereka tidak mahu jasad Juliana tergelincir jatuh lebih dalam lagi.

"Tidur di jurang sambil menjaga mayat bersama pasukan penyelamat sangat mencemaskan kerana struktur jurang yang tidak stabil dan tanahnya yang berpasir," kata Otong.

Sejuk, Gelap, dan Sebak

Agam kemudiannya berkongsi kisah tersebut melalui media sosialnya. Dalam video yang dimuat naik ke Instagram, dia kelihatan tergantung di tebing dengan tangannya mahir mengatur tali untuk mengangkat jasad Marins. Satu malam dihabiskannya di sana bersama Juliana.

"Kami bermalam di tebing curam setinggi 590 meter bersama Juliana dengan memasang anchor agar tidak tergelincir lagi 300 meter ke bawah," tulis Agam.

Pagi 25 Jun 2025, proses pengungsian dimulakan. Tali-tali ditarik perlahan dengan bantuan sistem pulley. Ia mengambil masa hingga pukul dua petang untuk mengangkat mayat dari dasar jurang.

Tangkap layar Insta Story (kanan) Agam. 

Setiap tarikan membawa risiko baru berikutan situasi pasir yang runtuh dan batu banyak meluncur. Tetapi kesemua anggota penyelamat berkenaan tidak berhenti.

Akhirnya, pada pukul 3.20 WITA (4.20 petang waktu Malaysia), jasad Juliana berjaya tiba di Cemara Nunggal. Dari situ, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergerak pantas menuruni laluan Sembalun. Pada pukul 8 malam (9 malam), mayat tiba di Pos Bukit Tiga Sembalun dengan ambulans.

Ketika itu, tangisan dan pelukan menyambut para penyelamat yang telah mengorbankan segala-galanya.

Privasi dan Doa di Tengah Kesedihan

Gerimis mengiringi ketibaan ambulans yang membawa Juliana ke Posko SAR. Tidak lama kemudian, terdengar suara dalam bahasa Inggeris dari sebalik pagar 'No picture, no photo, no video, this is privacy'.

Itulah suara dari ahli keluarga Juliana, merayu agar media dan orang awam tidak merakam atau mengambil gambar mayat. Anggota TNI dan Brimob segera mengawal pintu masuk memastikan permintaan keluarga dihormati.

Juliana Marins.

Jasad terus dibawa ke RS Bhayangkara Polda NTB untuk proses autopsi, sebelum akhirnya dihantar pulang ke Brazil.

Evakuasi Juliana bukan hanya berkisar tentang teknikal menyelamat tetapi juga tentang nilai kemanusiaan, keberanian, dan penghormatan terhadap nyawa manusia.

Dari puncak Rinjani hingga ke skrin-skrin telefon di Brazil, kisah itu tersebar sebagai satu peringatan bahawa di sebalik bahaya dan duka, masih wujud insan-insan yang memilih untuk bertindak meskipun dengan mempertaruhkan nyawa sendiri.

Rinjani, saksi bisu tragedi itu akan sentiasa menyimpan cerita malam yang diliputi angin, tebing yang berdebu dan sekelompok manusia yang tidak menyerah menjaga harapan meskipun akhirnya terpaksa berhadapan dengan takdir. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram