
MAKAN malam biasanya dikaitkan dengan suasana tenang, muzik lembut dan hidangan yang enak.
Namun, pengalaman makan malam menjadi luar biasa di sebuah restoran di Ski Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila para pengunjung berpeluang menikmati hidangan sambil ditemani penguin yang boleh dilihat di sekeliling mereka.
Fenomena itu menjadi tular selepas seorang pengguna Instagram, Zoe Liu berkongsi momen unik itu kepada para pengikutnya.
Dalam rakaman yang dimuat naik, suasana restoran kelihatan seolah-olah berada di kutub iaitu lengkap dengan rekaan dalaman bersalji dan pencahayaan hangat yang mewujudkan suasana ajaib.
Keistimewaan utama restoran itu sudah tentu terletak pada kehadiran penguin yang jinak dan comel.
Haiwan berkenaan bebas berjalan di antara meja makan sambil pengunjung menjamu selera sehingga menjadikan pengalaman tersebut berbeza daripada kebiasaan.
"Macam mana rasanya makan malam bersama penguin? Mereka membuatkan anda lebih mensyukuri nikmat hidup.
"Inilah masa yang paling mengagumkan pernah saya alami," kata Liu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya yang teruja dan menganggap ia sebagai pengalaman yang menjadi impian ramai.
Seorang pengguna berseloroh, “Kalau aku menang loteri, inilah tandanya kena pergi.”
Pengalaman itu turut mengimbau kenangan permainan kanak-kanak bagi sebilangan pengguna media sosial.
“Ingatkan aku pada game Penguin Diner iaitu penguin atas kasut luncur hidang makanan!” kata seorang netizen.
Pengguna lain, Luciiful yang bekerja sebagai pelayan restoran pula menganggap tempat itu pastinya sudah ditetapkan pada suhu yang sejuk supaya sesuai dengan penguin.
“Sebagai pelayan , benda pertama aku fikir orang akan makan sejuk,” katanya.
Ini bukan kali pertama penguin menjadi perhatian ramai.
Tahun lepas, seekor penguin tular apabila ia dilihat dengan sopan menunggu manusia beredar di sekitar kawasan bersalji sebelum meneruskan perjalanannya. — Agensi