PADA 2020, seorang wanita di Arkansas, Amerika Syarikat (AS) dibunuh di kediamannya di Snowden House, Horseshoe Lake oleh suspek yang membunuh ibu dan sepupunya di lokasi sama 23 tahun lalu, menurut pihak berkuasa.
Martha McKay, 63 tahun, ditemui mati dengan kesan tikaman di kediaman tersebut dalam kejadian pada 25 Mac 2020.
Sheriff Crittenden County, Mike Allen, memberitahu bahawa timbalannya bertindak balas terhadap penggera di kediaman tersebut pada Rabu, tempat Martha tinggal.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Wajar lepaskan ke kelab lain, tanpa Jalil Elias pun JDT tetap baik'
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod larian bintang baharu Man City hampir menyamai Usain Bolt
"Ketika mereka (polis) tiba, pintu belakang rumah mangsa terbuka dan ketika pihak berkuasa mencari penceroboh, mereka melihat seorang lelaki melompat dari tingkap tingkat atas.
"Penceroboh itu, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Travis Lewis, 39 tahun, berlari ke sebuah kereta berhampiran dan cuba melarikan diri.
"Tetapi pihak berkuasa berkata, kenderaan itu tersangkut di halaman rumah. Ketika itulah Travis keluar dari kereta dan melarikan diri ke tasik berdekatan.
"Dia dilihat terjun ke dalam air dan tidak timbul kembali selepas itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Martha ditemui mati, dipercayai dibunuh oleh Travis, iaitu suspek sama membunuh ibunya 23 tahun lalu.
Mayat mangsa dan suspek telah dihantar ke Pejabat Pemeriksa Perubatan Arkansas untuk menentukan punca dan cara kematian.
Tambah Sheriff Allen, Travis ketika berusia 16 tahun didakwa melakukan pembunuhan di kediaman Horseshoe Lake pada 10 September 1996 terhadap ibu Martha, Sally McKay, dan sepupunya, Joseph Lee Baker, seorang pemain gitar terkenal dari Memphis.
"Dikatakan bahawa Travis menembak Sally dan Joseph kerana mereka mengganggunya semasa dia cuba merompak rumah tersebut.
"Kediaman itu kemudian dibakar," jelasnya.
Lewis dijatuhkan hukuman penjara selama lebih 28 tahun dan diarahkan untuk menjalani sekurang-kurangnya 70 peratus daripada tempoh tersebut, menurut perjanjian pengakuan bersalah.
Selepas 23 tahun di penjara, Lewis diberi parol pada 2018.
Martha McKay, yang berpindah ke Horseshoe Lake dari San Francisco pada 2004 selepas pembunuhan ibunya, telah mengubah premis itu menjadi tempat penginapan dan lokasi perkahwinan mewah.
"Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali, dan dia seorang wanita yang baik dan menarik. Dia benar-benar memulihkan tempat itu kembali kepada keindahan asalnya.
"Ia adalah satu tragedi dan ya, sangat mengejutkan bagi seorang remaja berusia 16 tahun melakukan pembunuhan ini, dan kemudian, kembali dan melakukan sesuatu yang begitu mengerikan lagi selepas 23 tahun," ujar Sheriff Allen merujuk kepada jenayah dilakukan Travis.
Sheriff Allen mendedahkan bahawa terdapat laporan bahawa Martha pernah berhubung dengan Travis semasa dia berada di penjara, serta selepas dibebaskan.
Martha dikatakan berasa kasihan dengan nasib yang menimpa Travis kerana lelaki terbabit masih muda ketika kejadian itu berlaku selain percaya, individu lain bertanggungjawab terhadap kematian ibunya.
Dia dikatakan telah menawarkan kerja kepada Travis untuk menyelenggara kediaman tersebut selepas menjalani parol pada 2018, sebelum dipercayai dipecat oleh Martha sendiri selepas satu kes kecurian membabitkan kerugian wang berjumlah AS$10,000. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram