SERAMAI 10 bayi yang baru dilahirkan terkorban manakala 16 lagi cedera dalam kejadian kebakaran di sebuah unit rawatan intensif neonatal di Hospital Medical College Jhansi, Uttar Pradesh, India, pada Jumaat.
Menurut pegawai tempatan, Bimal Kumar Dubey, kebakaran itu merebak dengan cepat ke seluruh wad yang menempatkan 55 bayi yang sedang dirawat.
Dalam kejadian itu, sebanyak 45 bayi berjaya diselamatkan dan kini menerima rawatan perubatan.
BACA LAGI: Ajal 4 pagi, suami isteri maut kena rempuh pemandu mabuk, langgar lampu merah di Pasir Gudang
Apabila anggota bomba tiba, wad tersebut telah dipenuhi api dan asap tebal.
Hal itu menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa memecahkan tingkap untuk menyelamatkan bayi-bayi berkenaan.
Menurut saksi, operasi penyelamatan hanya bermula kira-kira 30 minit selepas kebakaran yang menyebabkan kelewatan dalam usaha evakuasi.
Walaubagaimanapun, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan.
Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Brajesh Pathak telah mengunjungi hospital tersebut dan bertemu dengan keluarga mangsa pada hari berikutnya iaitu pada Sabtu.
Dalam lawatan itu, beliau berjanji akan memberikan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa dan berikrar akan melakukan siasatan menyeluruh.
"Kami akan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas tragedi ini dan mengambil tindakan tegas. Kerajaan akan berdiri bersama keluarga mangsa dalam menghadapi waktu yang sukar ini," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram